Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil

KUALA LUMPUR – Wanita Barisan Nasional (BN) menyifatkan tindakan Pakatan Harapan (PH) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri membuktikan parti pembangkang itu ketandusan pemimpin masa depan negara.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, lebih menghairankan apabila pemimpin pembangkang selama berdekad mencerca dengan pelbagai gelaran terhadap Mahathir dan kini boleh menerimanya sebagai pemimpin mereka.

“Sepanjang 22 tahun, Tun Mahathir menjadi perdana menteri, hampir setiap hari pemimpin pembangkang terutama DAP dan PKR mencaci serta menghina kepimpinannya yang dikatakan memusnahkan demokrasi serta menindas rakyat.

“Kini, PH seolah-olah lupa tuduhan, kebencian dan penghinaan mereka terhadap Tun Mahathir demi memanipulasi emosi dan fikiran rakyat dalam memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah) beramah mesra dengan pemimpin Wanita BN selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Shahrizat mempengerusikan mesyuarat Wanita BN yang membincangkan beberapa isu termasuk persiapan menuju PRU14, di ibu pejabat Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Konvensyen Pakatan Harapan ke-2 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam pada Ahad lepas menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

Pengumuman itu turut memutuskan pembahagian kerusi Parlimen yang bakal ditandingi oleh parti komponen PH, di mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diberikan 52 kerusi, disusuli Parti Keadilan Rakyat (PKR)-51, DAP-35 dan Parti Amanah Negara (PAN)-27.

Shahrizat berkata, Wanita BN bersiap sedia bersama barisan jentera parti komponen untuk menjalankan tugas demi mengekalkan kemenangan BN pada PRU14.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia khususnya generasi muda supaya bijak menterjemah permainan politik pembangkang yang rakus mengatur strategi memenangi PRU14 berpaksikan kepentingan peribadi pemimpinnya.

“Ternyata, pembangunan negara dan pembelaan isu-isu rakyat bukanlah agenda utama dalam perancangan PH hari ini, sebaliknya semata-mata menentukan agenda peribadi mereka sahaja.

“Berbeza dengan BN yang sentiasa konsisten untuk memastikan rakyat dan negara sentiasa dalam keadaan stabil, aman dan sejahtera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast