Datuk Seri Zulkifli Omar

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar menafikan Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab terhadap rancangan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hospital semalam.

Sebaliknya beliau memaklumkan tiada permohonan rasmi yang dikemukakan  Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melawat Ketua Umum PKR itu.

“Sebenarnya keputusan untuk membenarkan (lawatan adalah) daripada penjara itu sendiri (dan) bukan daripada Timbalan Perdana Menteri. Bermakna kita berdasarkan kepada peraturan-peraturan penjara di mana salah satunya ialah tidak ada permohonan secara rasmi daripada Tun Mahathir sendiri.

“Kalau ada permohonan kita boleh lihat dan mempertimbangkan. Itu belum pasti kita luluskan lagi,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini pagi ini.

Tambah Zulkifli, kelulusan permohonan untuk melawat banduan merupakan bidang kuasa pegawai penjara yang bertugas dan ia  bergantung kepada beberapa aspek yang perlu dipertimbangkan termasuk keperluan khas dan keselamatan.

“Kelulusan untuk membenarkan (lawatan) bergantung kepada pegawai yang menjaga penjara itu. Kita kena melihat juga dari segi bila nak melawat seorang, banduan itu sendiri ada kuasa sama ada nak menerima atau tidak menerima permohonan untuk jumpa mereka.

“Permohonan kita benarkan bila kita lihat ada keperluan khas. Perlu ke tidak pertemuan itu. Jika dibenarkan akan menimbulkan implikasi-implikasi yang boleh memberikan kesan kepada penjara kita tidak akan membenarkan.

“Bermakna keluarga boleh berjumpa bila berada di hospital, tidak kepada orang lain. Orang lain kena ada permohonan khas. Peguam pun kita benarkan apabila melibatkan kes-kes Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Katanya, sekalipun berada di hospital untuk mendapatkan rawatan, status Anwar mahupun banduan lain tidak akan berubah begitu juga layanan.

“Sesyen 26 Akta Penjara 1995 bila seseorang banduan berada dalam hospital kawalannya seolah berada dalam penjara,” tambah beliau.

Semalam, Mahathir mendakwa Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan melarangnya melawat Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini. – Malaysiagazette

Comments are closed.