KUALA LUMPUR – Bukan jual mahal namun pelakon Enot yang kini tampil menawan dengan imej lebih kurus enggan melayan mana-mana godaan lelaki.
Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah kembali sihat daripada penyakit kanser dan fizikal berbeza, ramai pula kaum Adam yang menghampirinya untuk berkenalan.
Terbaharu, wanita berusia 39 tahun itu telah menolak ajakan seorang anggota tentera berstatus duda anak lima untuk memperisterikannya.
“Waktu saya sakit, gemuk dan tidak cantik, tidak ada siapa yang hendak ajak kahwin. Tapi bila saya kembali sihat dan badan mula kurus, ramai pula yang hendak kenal.
“Jadi saya sedar kebanyakan orang lelaki hanya suka menilai kecantikan sahaja baru mereka tertarik. Saya pun tidak terdesak mencari calon suami. Malah sudah selesa menjadi ibu tunggal hampir lima tahun lalu.
“Sudah lama saya berjuang bersama dua anak saya untuk meneruskan kelangsungan hidup. Apa kerja saya tidak buat asalkan dapat memberi rezeki kepada kami bertiga,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Enot yang dikenali menerusi drama Mat Despatch pernah berkahwin dengan Zainul Abidin Mat Noor pada 21 November 2008 dan bercerai pada tahun 2013.
Dia kini membesarkan dua anak iaitu Andriana Balqis, 17, dan Ariana Qaseh Qistina, 11, dengan membawa mereka ke mana-mana ketika mencari rezeki termasuk kerja-kerja pengurusan acara selama ini.
Enot pernah menghidap kanser usus tahap dua dan terlantar sakit di rumah tanpa mendapat tawaran berlakon sejak tahun 2013.
Namun dia kini pulih daripada penyakit tersebut selepas sel-sel kanser itu sudah tidak aktif lagi.
Dia kini mengusahakan perniagaan kecilan seperti cookies, sambal dan gajet secara pesan hantar (droship) serta menjadi duta kepada produk diet kesihatan, Lemonex.
Pelakon yang juga pelawak itu berjaya menurunkan berat badan daripada 129 kilogram (kg) hingga 89 kg ketika ini.
Enot bagaimanapun menafikan cakap-cakap segelintir pihak yang membuat spekulasi penurunan berat badannya secara mendadak itu kerana penyakit kanser yang dideritainya sebelum ini.
“Orang perlu tahu penyakit kanser ini ada macam-macam jenis. Ada pesakit kanser yang menjadi kurus tapi saya mengidap kanser usus yang menyebabkan badan saya mengembang akibat kesan ubat yang diambil.
“Sekali lagi saya nak tekankan di sini saya sudah sihat daripada sakit dan kali terakhir pemeriksaan menunjukkan sel-sel kanser saya sudah tidak aktif lagi.
“Jadi, tolong jangan pandai-pandai cakap saya kurus sebab sakit . Tolong jangan buat cerita bukan-bukan,” tegas Enot yang mengamal produk tersebut sebelum Ramadan tahun lalu.
Sementara itu, bagi mereka yang ingin membeli apa jua produk yang dijual Enot, boleh melayari Instagram: enot_78. – MalaysiaGazette