BAGAN DATUK, 13 Jan -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan amanatnya pada majlis perasmian penutup Multaqa Permuafakatan Masjid, Surau dan Sekolah Agama Rakyat Daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak hari ini. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
BAGAN DATUK –  Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang yang tidak konsisten pendiriannya selepas menyatakan keengganannya menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Dr Mahathir membuat dakwaan menyatakan dirinya dipaksa menjadi perdana menteri hanya setelah terdapat komen-komen segelintir pihak selepas Pakatan Harapan menamakan beliau untuk jawatan itu.

“Beliau (Dr M) (sekejap) konsisten dan tidak konsisten. Apabila Pakatan Harapan mengumumkannya sebagai perdana menteri dan terdapat komen sebaliknya terhadap pencalonan beliau, maka beliau berkata beliau dipaksa.

“Saya tak nak masuk campur tentang parti orang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Permuafakatan Masjid, Surau dan Sekolah Agama Rakyat Daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak di sini, hari ini.

Dr Mahathir dalam ucapannya di Johor Bahru baru-baru ini menegaskan beliau tidak mahu menjadi perdana menteri, sebaliknya diminta untuk memegang jawatan itu sekiranya pembangkang memenangi PRU14.

Beliau mendakwa sebenarnya beliau mahu berehat, namun tidak dapat berbuat demikian sehingga hari ini sejak menyerahkan jawatan itu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ahad lepas, Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia sebagai calon perdana menteri jika pakatan itu memenangi PRU14, manakala Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast