Felda akan mengambil semula tanahnya di Jalan Semarak.

KUALA LUMPUR – Isu Felda kehilangan hak milik ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini bernilai RM200 juta bakal menemui jalan penyelesaian apabila syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd akan mengembalikan hartanah itu hari ini.

Sumber Malaysia Gazette memaklumkan proses penyerahan itu akan dilakukan pihak pemaju berkenaan kepada Felda hari ini kira-kira 12 tengahari tadi selepas mereka mencapai kata sepakat mengenai perkara itu.

Pengumuman rasmi mengenai penyerahan semula tanah seluas 16 ekar itu akan dibuat dalam sidang media tergempar oleh kedua-dua pihak di ibu pejabat Felda.

Pada 21 Disember tahun lepas, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dalam satu sidang media tergempar mengakui wujudnya transaksi tanah milik agensi itu di Jalan Semarak di sini melibatkan empat bidang tanah dan jumlah keseluruhannya bernilai RM270 juta.

Bagaimanapun, Shahrir berkata walaupun transaksi telah berlaku tetapi Felda tidak menerima sebarang wang daripada syarikat yang membeli tanah itu.

Kehilangan pegangan hak milik tanah itu didedahkan oleh Berita Harian pada 21 Dismber tahu lepas kerana ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Menurut akhbar itu, sumber memberitahu pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkan tanah itu.

Felda dipengerusikan Tan Sri Isa Samad sehingga Januari lalu. Beliau merupakan pengerusi FIC sejak syarikat itu ditubuhkan pada 2 Julai 2013 sehingga kini. – MalaysiaGazette