Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad menunjukkan gambar dokumen yang membuktikan Felda mendapat balik hak tanah daripada Synergy Promede Sdn. Bhd. pada sidang media khas berhubung Perkembangan Terbaru Berkaitan Tanah Felda, Jalan Semarak di Menara Felda, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 15 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Walaupun Felda berjaya memperoleh semula 16 lot tanahnya yang dipindah milik, laporan polis berhubung perkara itu terhadap Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) tidak akan ditarik balik, kata Pengerusinya Tan Sri Shahrir Abd Samad.

Selain itu Surat Kuasa Wakil Penuh atau P.A dan konsep pembangunan semula projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak akan dikaji semula.

Perkara tersebut disahkan oleh Shahrir pada sidang media di Menara Felda petang tadi.

Pada 12 dan 28 Disember tahun lalu, Felda membuat dua laporan polis berhubung tanah miliknya yang dirampas syarikat terbabit yang kemudian melakukan tukar hak milik tanpa pengetahuan Felda.

Menurut Shahrir, melalui kajian semula itu, SPSB tidak boleh memindah milik tanah tersebut tanpa kebenaran bertulis Felda.

Katanya, semua tanah terlibat yang telah dipindah milik tanpa pengetahuan Felda telah dikembalikan berserta dengan dokumen yang diperlukan untuk melaksanakan pindah milik itu pada tengahari tadi.

“Daripada 16 geran yang terlibat, satu geran berada dengan pesuruhjaya tanah Wilayah Persekutuan. (Manakala geran) Yang lain masih dengan kita,” ujarnya.

Jelasnya, usaha pindah milik semula itu berlangsung tanpa melibatkan sebarang kos.

Tanah milik FELDA bernilai RM270 juta itu mula menjadi kontroversi apabila Shahrir mendedahkan penukaran milik tanah berkenaan tanpa Felda mendapat sebarang bayaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast