KUALA LUMPUR – Nampaknya Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak ‘terperangkap’ dengan tawaran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menteri Besar Selangor sebelum itu menawarkan kerusinya di Parlimen Gombak kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.
Namun Mahathir semasa merasmikan Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Setiawangsa malam tadi menolak tawaran Mohamed Azmin.
Mahathir berkata beliau telah membuat keputusan untuk hanya bertanding di antara tiga kerusi dicadangkan iaitu Parlimen Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.
“Terima kasih Azmin atas pelawaannya untuk saya bertanding di Gombak,” katanya.
Apa jelas, Mahathir yang ternyata lebih berpengalaman mungkin dapat ‘membaca’ lebih awal kawasan itu bukan selamat lagi kepada pembangkang.
Tawaran itu juga dilihat sesetengah pemerhati politik sebagai usaha ‘lepas tangan’ Mohamed Azmin yang dikatakan ‘mengintai’ kerusi Parlimen Ampang pada PRU-14.
Menurut sumber, kerusi Gombak tidak dapat dikekalkan PH kerana sebelum ini kemenangan Mohamed Azmin kerana mendapat sokongan ahli-ahli Pas namun kini Pas tidak lagi bersama PH.
Ia juga dilihat mahu ‘mengalahkan’ Mahathir walaupun bekas negarawan itu baru dilantik PH sebagai calon kerana kawasan berkenaan kini dianggap kawasan ‘bunuh diri’.- MalaysiaGazette