Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama buku sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI), Datuk Anis Yusal Yusoff (dua kanan) pada Program Diskusi Intelektual 'Membina Negara Bangsa Berintegriti' dari Perspektif Institusi Pelbagai Agama dan Pendidikan di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Semua calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan melalui proses tapisan integriti dan kesihatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, tapisan itu akan dilakukan oleh unit khas dalam BN dengan mendapat bantuan daripada agensi berkaitan khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, integriti menjadi perkara utama yang diberi perhatian dalam pemilihan calon termasuk mengambil kira latar belakang mereka sama ada mempunyai rekod kes rasuah, salah guna kuasa atau sahsiah yang bertentangan dengan perundangan.

“Dalam perkara ini, pengundi akan melihat personaliti seseorang itu maka ia mesti bersih. Seseorang calon bukan sahaja mesti bersih tetapi mesti kelihatan bersih.

“Kepada calon BN, biar pun negeri sudah menghantar sepenuhnya nama calon untuk kerusi Parlimen dan DUN namun beberapa usaha tapisan terhadap integriti sedang dilakukan sepenuhnya.

“Ia termasuk tapisan dalam laporan kesihatan agar tidak berlaku pilihan raya kecil (PRK) dalam waktu terdekat selepas PRU.

“Kita ucapkan selamat tinggal (kepada calon yang gagal tapisan integriti),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Diskusi Intelektual ‘Membina Negara Bangsa Berintegriti’ Dari Perspektif Institusi Pelbagai Agama dan Pendidikan anjuran Institut Integriti Malaysia (IIM) hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media pada Program Diskusi Intelektual ‘Membina Negara Bangsa Berintegriti’ dari Perspektif Institusi Pelbagai Agama dan Pendidikan di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 16 JANUARI 2018

Ahmad Zahid berkata, apa yang dilakukan itu jelas menunjukkan bahawa BN sememangnya mementingkan keseriusan dalam memilih calon.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tan Sri Othman Mustapha dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast