Noh Omar
PUTRAJAYA – Projek pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah Datum Jelatek yang dilaksakan Kerajaan Negeri Selangor adalah bukti jelas pengabaian hak milik penduduk asal untuk mendapat semula rumah mereka.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, penduduk asal tidak digantikan dengan rumah sebaliknya diberikan pampasan kecil dan tidak cukup untuk membeli rumah di Datum Jelatek.

“Jangan jadi macam Datum Jelatek, ada satu projek pembangunan semula perumahan, runtuh rumah lama, buat rumah baru, penduduk asal tak mampu nak beli kerana harga sekarang RM600,000.

“Takkan orang miskin mampu beli rumah RM600,000,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Perbandaran Negara 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menerima kenyataan resolusi daripada Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Halimah Mohamed Sadique (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek (kiri) pada Majlis Penutup Konvensyen Perbandaran Negara 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2018

Projek Datum Jelatek merupakan projek pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah di Jalan Jelatek, Datuk Keramat, Kuala Lumpur yang bernilai RM1.2 bilion.

Projek kondominium mewah Datum Jelatek dibangunkan ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih menjadi menteri besar Selangor.

Noh juga berkata, menerusi akta baharu iaitu Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam (3P) yang bakal dibawa ke sidang Parlimen akan datang, hak penduduk asal lebih terjamin untuk mendapat semula rumah mereka.

“Kalau nak bangunkan semula, bagaimana kita nak buat? Supaya kita nak laksana tiada halangan. Sudah tentu ada undang-undang dan peraturan yang kita perlu buat.

“Bila ada undang-undang, ia boleh yakinkan rakyat untuk bangunkan semula perumahan lebih 20 tahun.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Perbandaran Negara 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2018

“Ada jaminan dapat semula rumah oleh penduduk asal. Jangan jadi macam Datum Jelatek diberikan pampasan, kemudian penduduk asal tak mampu beli semula rumah itu.

“Kalau dasar ini tidak diperbetulkan seperti Datum Jelatek, penduduk asal terpaksa berpindah ke luar bandar untuk beli rumah lebih murah dengan duit pampasan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast