Noh Omar
PUTRAJAYA – Kerajaan bakal memperkenalkan akta baharu untuk menguruskan pembangunan semula kawasan perumahan awam berusia lebih 20 tahun yang didapati tidak sesuai didiami dengan kepadatan penduduk khususnya di bandar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, menerusi akta baharu itu, satu perbadanan bakal diwujudkan bagi menguruskan pembangunan semula perumahan awam di negara ini.

“Mungkin sudah sampai masa kita perkenalkan akta baharu untuk membangunkan semula perumahan dalam bandar yang berusia lebih 20 tahun dan tidak sesuai.

“Kabinet telah meluluskan dan kita dalam proses untuk membuat satu akta 3P iaitu Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam dan akan dibawa ke Parlimen.

“Bila akta ini ada, satu perbadanan diwujudkan untuk menguruskan rumah-rumah awam, rumah kos rendah, rumah PPR yang ada di negara kita,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Konvensyen Perbandaran Negara 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (duduk,tengah) diiringi Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Halimah (duduk,kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek (duduk,kanan) bergambar kenangan bersama para peserta pada Majlis Penutup Konvensyen Perbandaran Negara 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2018

Noh berkata, polisi itu telah dilaksanakan di Singapura dalam membangunkan semula perumahan berusia lebih 20 tahun yang kini tidak sesuai didiami akibat kepadatan penduduk di bandar.

Katanya, projek pembangunan semula Kampung Kerinchi adalah contoh terbaik yang mana setiap pemilik asal kawasan terbabit mendapat unit rumah baharu apabila apartmen Kerinchi Residency siap dibina.

“Kalau saya tak silap rumah PKNS dua bilik dibeli bawah RM20,000 tapi hari ini bila ia dibangunkan balik, rumah itu nilainya dekat RM500,000 dengan tiga bilik, kolam renang dan keadaan lebih baik,” jelasnya.

Katanya, ketika ia hendak dibangunkan, banyak halangan wujud termasuk campur tangan daripada pemimpin pembangkang yang menghasut penduduk untuk mengambil tindakan mahkamah.

“Pembangkang mestilah ambil kesempatan sebab dia tak nampak apa kita nak buat. Kalau tak silap saya ada 30 orang pergi ke mahkamah sebab dapat khidmat peguam percuma.

“Akhirnya pemaju menang, projek itu diteruskan dan hari ini projek itu telahpun siap. 30 orang yang membantah itu menyesal sekarang. Penduduk asal dapat rumah tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast