Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hari ini diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada pihak media membabitkan prosiding kes samannya terhadap bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung dakwaan isu pakatan sulit melibatkan dirinya dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nordin Hassan memberi peringatan itu berikutan peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, yang mewakili Tunku Abdul Aziz memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mukhriz ada membuat kenyataan kepada pihak media selepas memberi keterangan dalam perbicaraan kes samannya pada 11 Jan lepas.

“Saya ingin mengingatkan saksi dan mana-mana pihak yang terlibat supaya jangan membuat kenyataan media berhubung kes ini kerana kes masih berjalan,” kata hakim itu selepas Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selesai memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan kes saman berkenaan.

Terdahulu Mukhriz, 53, yang menyambung keterangannya berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam Jahaberdeen bahawa kenyataan media yang dibuat olehnya (Mukhriz) bagi menafikan tuduhan defendan (Abd Aziz) merupakan gimik semata-mata.

Disoal Jahaberdeen mengenai kariernya sebagai anggota politik UMNO yang dikatakan tidak cemerlang, Mukhriz berkata, “Ada turun naik saya tidak rasa kerjaya politik saya dalam UMNO tidak cemerlang kerana adat pertandingan ada menang ada kalah”.- BERNAMA