KUALA LUMPUR – Momen terakhir pejuang Palestin, Yahya Sinwar melemparkan kayu ke arah dron yang dimiliki penjajah Israel menjadi pepatah baharu dunia Arab.
Tular di media sosial pepatah ‘Sinwar stick’ atau kayu Sinwar diibaratkan sebagai mewakili ketabahan seseorang menghadapi segala rintangan.
Usaha terakhir Sinwar untuk berjuang walaupun dengan hanya melemparkan kayu ke arah musuh memperlihatkan sikap tidak berputus asa atau menyerah kalah terhadap apa juga cabaran yang tidak dapat diatasi.
“Ia bermakna anda telah mencuba sepenuhnya segala-galanya dan tidak ada yang lain ditinggalkan kecuali sebatang kayu.
“Saya baling ‘kayu Sinwar’ ke arahnya – bermakna anda memberikan segalanya selepas anda habis semua usaha untuk mencapai matlamat anda,” kata perkongsian di media sosial.
Sinwar yang merupakan Ketua Biro Politik Hamas syahid dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Khamis lepas.
Berbanding naratif yang disebarkan Israel, Sinwar yang mengambil alih jawatan itu daripada Ismail Haniyeh yang juga syahid dibunuh Israel itu tidak bersembunyi di dalam terowong.
Malah kematian Sinwar mendedahkan pejuang pembebasan Palestin itu juga tidak menjadikan tebusan Israel sebagai perisai manusia sebaliknya berada di barisan hadapan melawan tentera penjajah yang menggunakan senjata lebih canggih.
Menurut siaran radio tentera Israel, Sinwar memakai jaket keselamatan tentera yang mengandungi peluru dan bom tangan, serta ditemani oleh seorang lagi pemimpin medan.
Akhbar Israel, Haaretz melaporkan tiada tanda-tanda kewujudan tebusan di bangunan tempat Sinwar berada mahupun di kawasan sekitarnya.
Akhbar tersebut turu menyanggah dakwaan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich mengenai maklumat perisikan tentang kehadiran Sinwar di kawasan Tel al-Sultan dengan menjelaskan bahawa operasi tentera di kawasan itu tidak didahului oleh sebarang maklumat perisikan.
Laporan menyebut, Israel menggunakan dron untuk mengimbas bangunan dan mengesan seorang lelaki bertopeng yang cedera di bahagian tangannya.
Apabila Sinwar melihat dron itu, beliau melemparkan sebatang kayu ke arahnya yang menjadi rakaman terakhir pejuang itu melawan tentera zionis hingga titisan darah terakhir.
Pada ketika itu, kereta kebal Israel yang berada di luar bangunan menembak bom ke arah Sinwar hingga menyebabkan beliau syahid. – MalaysiaGazette