Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Komunikasi Mandarin Malaysia, Tan Chee Hiong bercakap mengenai penganjuran Persidangan Akademik Pendidikan Cina ASEAN ke-2 pada sidang media yang diadakan di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto AQIRA AZEMI, 19 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA dengan kerjasama Pertubuhan Kebudayaan dan Komunikasi Mandarin Malaysia bakal menganjurkan Persidangan Akademik Pendidikan Cina ASEAN ke-2 di Wisma MCA, di sini, pada 6 hingga 7 Februari ini.

Naib Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong berkata, persidangan dua hari itu bertujuan untuk mempromosikan pembangunan dan kefahaman tentang pendidikan Cina dan kaedah pengajarannya khususnya di Malaysia.

“Pada asasnya, pada persidangan ini nanti, kita akan membincangkan penyelidikan dan kertas tesis daripada ahli akademik yang didatangkan khas dari China.

“Mereka akan membincangkan kesemua topik tersebut di mana ahli panel utama akan mengkaji semula kertas kerja dan memberikan penilaian mereka,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Chee Hiong selaku pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Komunikasi Mandarin Malaysia juga berkata, Universiti Minzu China merupakan penganjur bersama dalam persidangan kali kedua itu.

Jelasnya, antara topik utama dalam persidangan itu ialah Bahan dan Kaedah Pengajaran bagi Pendidikan Antarabangsa Cina dan Pengajaran Penyelidikan Elemen Linguistik Cina

“Mereka akan membuat penyelidikan di mana budaya Cina diajar dan komunikasi antara budaya antarabangsa khususnya di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha pertubuhan itu, Stannly Hu Jie Yeo pula berkata, persidangan itu menampilkan beberapa ahli akademik terkenal dunia iaitu Dr Wu Winghui dari Universiti Minzu China; Profesor Dr Goh Yeng Seng dari Institut Pendidikan Kebangsaan, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura dan Profesor Dr Maeng Joo Oeck dari Pengajian Luar Negara, Universiti Korea.

Jie Yeo berkata, walaupun kebanyakan ahli akademik dari China, pihaknya turut menjemput tenaga pengajar tempatan untuk menyertainya bagi memperbaiki kaedah pengajaran bahasa Mandarin di negara ini.

“Kita menggalakkan ahli akademik Malaysia ayang mempunyai minat dalam pengajaran Cina atau Cina sebagai bahasa asing untuk hadir dan menyertai kami dalam persidangan itu.

“Mereka boleh berkongsi pandangan dan mendapatkan maklumat bermanfaat daripada persembahan penyelidikan dalam tempoh dua hari itu,” katanya.

Katanya, mereka yang berminat boleh mendaftar pada laman web atau Facebook Pemuda MCA dengan yuran penyertaan sebanyak RM200.

“Pada persidangan sama pertama sebelum ini, ada beberapa ahli akademik dari Universiti Teknologi MARA, Thailand dan Indonesia menyertainya.

“Ini kerana ia dapat membantu mencari kaedah terbaik untuk mengajar bahasa Mandarin kepada pelajar bukan Cina,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast