Aminar Rashid

PETALING JAYA – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) mensasarkan peningkatan jualan sebanyak dua peratus kepada 209,000 unit pada 2018 berbanding 204,900 unit tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, prestasi positif itu didorong oleh permintaan kukuh barisan model-model baharu Perodua yang dimulakan oleh Bezza pada awal 2017 dan momentum itu dijangka berterusan tahun ini.

Malah tempahan terhadap model baharu Myvi melepasi 36,000 unit sejak tempahan dimulakan pada November 2017.

Setakat ini, lebih 11,000 unit telah diterima pembelinya.

“Berdasarkan pengiraan dalaman, kami menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) meningkat kepada 590,000 unit pada 2018 dan penguasaan pasaran Perodua kekal pada 35 peratus.

“Ini meletakkan Perodua sebagai peneraju pasaran di Malaysia untuk kali ke-12 berturut-turut. Terima kasih rakyat Malaysia,” katanya semasa membentangkan prestasi tahunan Perodua di sini hari ini.

Tambahnya, Perodua menjangkakan pendaftaran kenderaan meningkat tahun ini berikutan tempahan yang dibuat oleh pelanggan pada akhir 2017 akan mula dihantar.

Ini memaksa Perodua bekerja keras untuk memastikan permintaan terutama yang melibatkan Myvi 1.5 dapat dipenuhi.

Katanya, pengeluaran kenderaan dijangka meningkat sebanyak lapan peratus kepada 215,000 unit tahun ini.

Perodua mempunyai dua syarikat pengilangan, Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. mengeluarkan Myvi baharu dan Alza manakala Perodua Global Manufacturing Sdn. Bhd. mengeluarkab Axia dan Bezza. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast