KUALA LUMPUR – Impian skuad negara pada kempen Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) lebur pada peringkat suku akhir apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan di Stadium Kunshan, China sebentar tadi.

Han Seung Gyu menjadi wira Korea Selatan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85 mengesahkan kemaraan ke separuh akhir menentang Uzbekistan Selasa ini.

Pada perlawanan itu, skuad negara kendalian Datuk Ong Kim Swee ketinggalan seawal 15 saat perlawanan bermula yang juga jaringan terpantas kejohanan oleh Cho Jae Wan.

Rembatan padu Jae Wan yang mengelirukan gagal diselamatkan penjaga gol negara, Haziq Nadzli yang jelas belum panas badan lagi.

Namun jaringan itu langsung tidak mematahkan semangat Malaysia untuk menguasai perlawanan dan pemain gantian N Thanabalan menyamakan kedudukan pada minit ke-67.

Kim Swee menurunkan skuad yang hampir semua kesebelasan utama ketika menewaskan Arab Saudi 1-0 sebelum ini dengan hanya memasukkan Nik Akif Syahiran menggantikan R Kogileswaran di bahagian serangan biarpun dibelenggu dengan masalah

Malaysia memiliki beberapa peluang terbaik menerusi penyerang Safawi Rasid namun diselamatkan penjaga gol, Kang Hyeon Mu.

Kim Swee membuat dua pertukaran dengan memasukkan N Thanabalan bagi mengambil tempat Akhyar Abdul Rashid dan Hadi Fayyadh Abdul Razak bagi menambah bisa di bahagian serangan.

Percaturan itu berbaloi apabila Thanabalan yang mengalami kecederaan hamstring dan direhatkan ketika Malaysia seri 1-1 dengan Jordan dan menang 1-0 ke atas Arab Saudi membuktikan bisa tandukannya dengan menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-67. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast