Home Ekonomi Skim tawaran syiling awal satu kesalahan

Skim tawaran syiling awal satu kesalahan

Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengingatkan orang ramai skim tawaran syiling awal (ICO) tanpa kebenaran adalah satu kesalahan.

Dalam satu kenyataan, SC berkata, skim ICO yang membabitkan aktiviti yang tertakluk kepada undang-undang yang ditadbir oleh kedua-dua pengawal selia itu.

“Penerbit ICO diingatkan bahawa melancarkan suatu ICO, penawaran token digital sebagai pertukaran bagi mata wang digital atau apa-apa bentuk pembayaran dan aktiviti yang seumpamanya, tertakluk kepada keperluan kawal selia di bawah
undang-undang sekuriti,” katanya.

Lantaran itu, mana-mana individu tidak dibenarkan menjalankan apa-apa aktiviti yang dikawal selia seperti pengumpulan dana, pengurusan dana dan berurus niaga dalam produk pasaran modal tanpa kelulusan atau kebenaran SC.

Pengendali ICO juga dilarang daripada menjalankan aktiviti yang dikawal selia seperti pengambilan deposit dan perniagaan perbankan, aktiviti dan pembayaran pentadbiran pertukaran asing, tanpa kebenaran yang diperlukan di bawah undang-undang perkhidmatan kewangan yang ditadbir oleh BNM.

Orang ramai diingatkan berhati-hati sebelum menyertai mana-mana ICO dan dinasihatkan agar merujuk kepada senarai institusi yang dilesenkan atau diluluskan untuk menjalankan aktiviti yang dikawal selia di bawah undang-undang yang ditadbir oleh SC dan BNM.

Kedua-dua pihak berkuasa tersebut akan terus memantau perkembangan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menjalankan aktiviti tidak sah atau tidak dibenarkan. – MalaysiaGazette