Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersama barisan tertinggi MCA dan para perwakilan melaungkan hidup BN pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MCA kali ke-64 di Dewan San Choon, Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 05 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan majoriti marginal antara tiga hingga lima peratus, iaitu di bawah 1,000 hingga 2,000 undi bukan lagi satu ancaman kepada parti pemerintah itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Berdasarkan keputusan PRU13 lalu, 11 dari 30 kerusi Parlimen yang dimenangi BN merupakan kerusi hitam dan berbahaya kerana ia dimenangi dengan majoriti marginal di bawah 1,000 undi.

Kerusi Parlimen tersebut ialah Baram (majoriti 194 undi), Bentong (379), Sungai Besar (399), Kuala Selangor (460), Cameron Highland (462), Beaufort (672), Machang (805), Kota Marudu (842), Titiwangsa (866), Pasir Gudang (935) dan Ketereh (974).

Kesemua 11 kawasan Parlimen yang dianggap kerusi hitam itu sebahagian besarnya adalah kerusi majoriti Melayu, kecuali Cameron Highland, Bentong, Pasir Gudang dan Titiwangsa yang merupakan kerusi campuran.

Bagaimanapun bacaan politik mutakhir ini kian berubah dan ditambah baik pula polisi-polisi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin memulihkan kepercayaan rakyat terutamanya di kerusi-kerusi hitam itu.

Jangkaan BN bakal kehilangan kerusi marginal ini meleset dan terbukti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016 yang mana BN memperoleh kemenangan besar, masing-masing dengan majoriti 9,191 dan 6,969 undi berbanding PRU13 lalu dengan 399 dan 1,082.

Begitu juga PRU14 akan datang, BN dijangka menambah kerusi dan meningkatkan majoriti marginal khususnya 30 kerusi Parlimen tersebut yang sebelum ini dianggap tidak selamat kini berjaya mendapat kepercayaan semula.

Pembubaran Pakatan Rakyat (PR) selepas Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan gabungan pembangkang itu dan digantikan dengan Pakatan Harapan (PH) nyata memberi kelebihan kepada BN melalui pertandingan tiga penjuru.

Sekiranya keadaan ini berterusan hingga ke PRU14, BN tetap mendapat kelebihan pada kerusi marginal ini kerana tindakan Pas meletakkan calonnya di kerusi ditandingi pembangkang semata-mata untuk memecahkan undi khususnya pengundi Melayu.

Bagaimanapun faktor calon tempatan dan berkaliber cukup penting pada PRU14 apabila pengundi lebih tertarik kepada calon yang bersih daripada salah laku rasuah atau kontroversi, dengan kata mudah muka baharu.

Faktor ketua bahagian parti komponen BN adalah calon PRU14 bukan lagi satu ‘kemestian’ malah kepimpinan BN lebih cenderung untuk menang terlebih dahulu berbanding meletakkan muka-muka kitar semula yang tewas sejak dua penggal lalu.

Kekalahan BN pada PRU13 sebahagian besarnya disebabkan ‘sabotaj dalaman’ yang mana saluran putih tidak keluar mengundi perlu diselesaikan sebelum Perdana Menteri membubarkan Parlimen.

Tindakan mencantas senarai calon BN pada saat akhir khususnya melibatkan pemimpin generasi muda dikatakan lebih banyak turun padang dan menjaga kawasan perlu dibanteras sama sekali hanya kerana menjaga hati pemimpin veteran yang kini tidak relevan di mata pengundi hari ini.

Formula yang diguna pakai Ketua Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang melepaskan ‘tiket’ menjadi calon dalam PRK Sungai Besar kepada Budiman Mohd Zohdi nyata memberi impak besar dan ia wajar diteladani oleh 222 UMNO Bahagian di seluruh negara.

Faktor calon memainkan peranan besar di samping strategi yang dijalankan oleh BN dalam mengekalkan kemenangan.

Antara contoh lain kerusi campuran yang dimenangi oleh BN iaitu Tanjung Malim (Melayu-53%, Cina-27%, India-14%), Balik Pulau (Melayu-64%, Cina 32%, India 4%), Tapah (Melayu 46%, Cina 28%, India 13%), Bera (Melayu 59%, Cina 32%, Orang Asli 5%), Hulu Selangor (Melayu 56%, Cina 23%, India 18%), Alor Gajah (Melayu 59%, Cina 28%, India 13%), Segamat (Melayu 44%, Cina 46%, India 10%), Sekijang (Melayu 56%, Cina 39%, India 5%), Labis (Melayu 36%, Cina 47%, India 15%), Ledang (Melayu 53%, Cina 41%, India 5%), Muar (Melayu 62%, Cina 35%, India 1%), Air Hitam (Melayu 56%, Cina 38%, India 4%), Simpang Renggam (Melayu 57%, Cina 33%, India 9%), Tebrau (Melayu 47%, Cina 38%, India 13%), Pasir Gudang (Melayu 48%, Cina 38%, India 13%), Johor Bahru (Melayu 51%, Cina 43% India 5%), Pulai (Melayu 47%, Cina 41%, India 10%) dan Tanjong Piai (Melayu 51%, Cina 47%, Orang Asli 2%).

Kegagalan strategi, seperti gerak kerja silap dan meletakkan calon salah akan memudahkan parti-parti lawan BN kehilangan potensi memenangi kerusi terlibat.

Namun begitu, itu bukan sesuatu yang mustahil dimenangi dengan jangkaan berlakunya gelombang perubahan politik luar biasa sebagaimana ‘Tsunami Politik’ pada 2008. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast