KUALA LUMPUR – “Sebab UPM (Universiti Putra Malaysia) sahaja datang jumpa saya dan minta bantuan, so saya bagi RM1 juta nak bantu IPTA kita,” katanya spontan.
Itu jawapan jutawan Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, pemilik yang juga Pengarah Urusan Weststar apabila ditanya kenapa memilih UPM menyalurkan dana kajian kejuruteraan aeroangkasa baru-baru ini.
Memetik laporan theRakyat pula, namanya mula menjadi sebutan apabila syarikatnya muncul sebagai penyedia perkhidmatan helikopter luar pesisir terbesar di Asia Tenggara dengan perolehan kontrak bernilai berpuluh bilion ringgit.
Tidak hanya dikenali sebagai seorang ahli perniagaan berjaya, Syed Azman juga secara ‘diam-diam’ banyak memberi sumbangan kepada kepada masyarakat melalui pelbagai tajaan dan dana yang dikeluarkan melalui ‘poketnya’ sendiri.
Beliau juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kumpulan Weststar dan UPM.
Malah semasa ucapannya, Syed Azman berkata, dana itu akan digunakan untuk pelbagai aktiviti terutamanya biasiswa pelajar dalam membuat kajian khususnya berkaitan aeroangkasa.
“Dana ini adalah untuk sepuluh tahun tapi kalau tidak cukup, UPM boleh mohon lagi peruntukan dana,” katanya dalam majlis tersebut.
Untuk pengetahuan anda, Kumpulan Weststar juga menyasarkan penyenaraiaan di Bursa Malaysia pada suku ketiga tahun ini.
Cadangan pelaksanaan IPO Weststar telah dikaji sejak 2014 yang melibatkan pengumpulan dana antara AS$300 hingga AS$600 juta (RM966 juta-RM1.9 bilion).
“Kami bukan buat ini terburu-buru, kami ada aliran wang. Semua itu bergantung kepada penilaian, jika dapat penilaian yang baik yang boleh saya terima, kita akan masuk IPO suku ketiga tahun ini.
“Syarikat ini saya buka di Malaysia, dan sepatutnya kekal sebagai syarikat di negara ini. Kami lebih suka memasuki Bursa Malaysia daripada pasaran saham luar negara,” katanya.
Sedikit mengenai latar belakang Syed Azman, beliau asalnya adalah seorang pegawai perisikan tentera yang berkhidmat selama 13 tahun dalam ATM hingga memperoleh pangkat Mejar.
Pada tahun 1993, setelah berhenti dari tentera, beliau dan isteri memulakan perniagaan kereta terpakai.
Anak jati Sungai Petani, Kedah ini kemudiannya mula berulang-alik ke London untuk membeli kereta terpakai sebelum menjualnya di Malaysia.
Masa itu beliau tidak memiliki AP namun dia berkongsi AP dengan rakan-rakan yang memiliki permit tersebut.
Lama kelamaan beliau berjaya juga memiliki AP dari kerajaan dan perniagaan keretanya semakin menjadi sebutan.
Kemudian kerajaan mengambil keputusan memberhentikan pemberian AP terbuka dan hanya menawarkan franchise AP.
Untuk mendapatkan franchise AP, Syed Azman perlu dilantik oleh syarikat kereta asing sebagai pengedar kemudian barulah permit itu dianugerahkan kepadanya.
Nasib menyebelahinya apabila beliau berjaya mendapatkan kepercayaan daripada Honda untuk melantiknya sebagai pengedar beberapa jenis kereta tersebut di Malaysia antaranya Honda Jazz.
Kemudian Syed Azman mendapat hak untuk mengedar pula Chevrolet dan Suzuki.
Syed Azman pernah berkata, selama menjalankan urusan perniagaan, beliau bosan kerana masanya banyak habis di jalan lalu rakannya mencadangkan beliau membeli helikopter sahaja.
Pada tahun 2003, beliau membeli sebuah helikopter dengan harga US$1.5 juta bagi kegunaan hariannya, bila heli itu tidak digunakannya, beliau sewakan saja pada mereka yang berminat.
Ketika itulah beliau sedar yang permintaan untuk helikopter ini tinggi di Malaysia.
Lima tahun kemudian, beliau berjaya mendapatkan kontrak pertama untuk menyediakan perkhidmatan helikopter untuk membawa pekerja sektor minyak dan gas ke pelantar.
D
Hari ini, pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS) itu memiliki lebih 40 buah helikopter, empat buah jet persendirian dan beliau juga memiliki kontrak bernilai RM8 bilion bagi membawa pekerja pelantar minyak hingga menjadikannya antara lelaki Melayu terkaya di Malaysia ketika ini.
Ia belum campur perniagaan peluru berpandu, peralatan pertahanan, hartanah, kenderaan, pembinaan dan sebagainya.-MalaysiaGazette
UPM terima dana RM1 juta perkasakan kejuruteraan aeroangkasa