Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi Malaysia (CMC) di bawah seliaan Polis DiRaja (PDRM) beroperasi sepenuhnya sejak sebulan lalu dalam membantu membanteras jenayah rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya tidak bergerak secara sendirian malah bekerjasama dengan agensi di bawah Kementerian Luar dan Pusat Keamanan Antarabangsa King Salman.

“Kerjasama ini penting di mana semua maklumat akan disalurkan bukan saja kepada Polis ASEAN (ASEANA POL) bahkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

“Senarai suspek yang ada atau sebarang data yang diperolehi itu dapat diberikan dalam perhatian antarabangsa.

“Setakat ini saya amat berpuas hati dengan perjalanan CMC,” katanya pada sidang media dalam Majlis Kesyukuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Auditorium Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar kenangan bersama kumpulan koir Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) pada Majlis Kesyukuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Auditorium Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 JANUARI 2018

Inisiatif kerajaan itu diumumkan Ahmad Zahid pada 9 November 2016 sebagai langkah ke hadapan Malaysia bagi tindak balas menentang pengganas dan ekstremisme terutama di alam siber.

Ia merupakan sebahagian daripada pendekatan strategik tindak balas ke atas golongan pelampau yang giat mempengaruhi pengguna di media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast