Pada istiadat hari ini, adinda Sultan Pahang Tengku Datuk Nor Akmar Sultan Abu Bakar mendahului senarai 196 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan.
Tengku Nor Akmar merupakan seorang daripada 21 penerima Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada istiadat yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Penerima SSAP lain pada istiadat hari ini ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop, tiga Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Ramly Ali, Tan Sri Azahar Mohamed dan Datuk Balia Yusof Wahi, bekas Setiausaha Kerajan Pahang Datuk Wan Abdullah Wan Salleh dan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Hasanah Ab Hamid.
Turut menerima SSAP ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Shaharuddin Khalid; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Tajudin Md Isa, Anggota Dewan Negara Senator Datuk Dr Hou Kok Chung dan Pengerusi Eksekutif Bina Mahir Sdn Bhd Datuk Khairuddin Yaakob.
Sultan Ahmad Shah juga berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk Indera kepada tiga individu iaitu Pengarah Bahagian Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Noridah Abdul Rahim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Khairul Dzaimee Daud dan Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi.- MalaysiaGazette