AMSTERDAM – Belum lagi reda insiden tembak rambang di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) semalam satu lagi insiden tembakan berlaku di Amsterdam sehingga menyebabkan seorang terbunuh mankala dua lagi kritikal.
Menurut AP, jurucakap polis yang menafikan insiden itu ada kaitan dengan pengganas berkata, kedua-dua mangsa yang cedera termasuk seorang wanita pertengahan umur dan seorang lelaki.
Inisden itu yang berlaku malam semalam di pusat bandar Grote Wittenburgerstraat itu mengejutkan orang awam yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Menurut jurucakap polis Amsterdam, Leo Dortland, orang ramai mendengar bunyi tembakan rambang sebelum melihat seorang lelaki bertindak melarikan diri.
“Ini bukan serangan pengganas tetapi lebih kepada kejadian jenayah. Kita sedang meneliti laporan serta menyiasat apa yang perlu.
“Kami juga sedang memburu penyerang terbabit, setakat ini kita sudah menemubual saksi juga telah mengambil cap cari di tempat kejadian. Kita belum boleh dedah apa-apa setakat ini.
“Kawasan ini juga akan di tutup untuk seketika dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak keluar pada waktu malam jika tiada sebarang urusan,” ujarnya.
Penyerang itu yang disyaki memiliki senjata AK-47 yang dipercayai di gunakan untuk melakukan serangan tembakan rambang.
Suspek telah menembak mati seorang remaja dengan beberapa tembakan dilepaskan bertalu-talu sebelum bertindak mencederakan dua yang lain.- MalaysiaGazette