Home Politik Kecewa dengan pemilihan Tun M, generasi muda diseru mengundi

Kecewa dengan pemilihan Tun M, generasi muda diseru mengundi

KUALA LUMPUR – Ketidakpuasan hati generasi muda terhadap keputusan Pakatan Harapan memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri tidak sepatutnya diterjemahkan menerusi kempen undi rosak, kata Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera (Gagasan), Shahir Adnan.

Sebaliknya kata beliau, kekecewaan terhadap pakatan pembangkang itu patut disalurkan menerusi pilihan parti politik yang lain seperti Gagasan yang menjadi alternatif.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia tertarik dengan kempen yang tular di media sosial, terutama di kalangan anak-anak muda yang menggunakan #UNDIROSAK kerana tidak berpuas hati dengan tawaran yang dibuat oleh Pakatan Harapan yang mencalonkan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sesungguhnya kami di Ikatan menerusi Gagasan Sejahtera amat faham dengan manifestasi kekecewaan golongan muda yang memulakan kempen #UNDIROSAK apabila Malaysia yang kita sayangi ini akan kembali ke zaman pemerintahan kuku besi Tun Dr.Mahathir sekiranya Pakatan Harapan menang pilihanraya nanti.

“Atas dasar itulah, Gagasan Sejahtera membuka satu lembaran baru dalam dunia politik negara, di mana anak-anak muda tidak terikat untuk memilih Pakatan Harapan atau Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Shahrir yang juga Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menambah, proses undi merupakan bukti Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan seharusnya setiap rakyat khususnya golongan muda tidak tertinggal untuk melaksanakan tanggungjawab itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

“Undi kalian adalah tanggungjawab seorang rakyat untuk menghidupkan proses demokrasi di Malaysia. Setiap undi dari anak-anak muda ini amat bernilai harganya,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast