KUALA LUMPUR – Biarpun baru setahun jagung dalam industri, status itu sedikit pun tidak menghalang bakat baru, Mutalib Mubin untuk aktif dalam bidang lakonan.
Malah, jejaka berusia 26 tahun ini sebenarnya lebih awal mencipta populariti dalam dunia peragawan sejak tahun 2016.
Bertandang ke studio MalaysiaGazette baru-baru ini bagi mempromosikan filem lakonan sulungnya, Badang, dia ramah bercerita tentang rezeki yang tidak disangka menjemput dirinya.
“Saya pun tidak menyangka rezeki saya agak mudah untuk menerima tawaran berlakon dalam Badang.
“Selepas menjadi finalis pencarian wajah Hatta Him kedua, saya memang berminat hendak berlakon dan mencuba nasib dengan pergi mana-mana uji bakat terbuka.
“Namun untuk Badang, saya menghantar pesanan ringkas kepada penolong pengarahnya kerana tidak hadir ujibabakat dan perlu datang pada hari lain.
“Akhirnya tanpa apa pengalaman berlakon termasuk drama, saya mendapat tawaran dalam Badang sebagai watak antogonis iaitu budak kolej yang nakal,” katanya sambil tersenyum.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2018/01/MGF12012018_PhotoshootMutalibMubin03.jpg)
Mutalib atau nama sebenar Abdul Mutalib Abdul Mubin berkata, pengalaman pertama dapat berlakon dengan pelakon popular popular Fasha Sandha dan Fauzi Nawawi serta usahawan popular, Datuk Seri Aliff Shukri amat berharga dalam hidupnya.
Apatah lagi jelasnya, semua pelakon tersebut memberi kerjasama yang baik dan banyak membantu dalam selok-belok lakonan.
“Bayangkan hari pertama pergi penggambaran, saya tiada pengalaman berlakon dan syukur babak pertama hanya sekali jalan sahaja.
“Lebih mengharukan, Fasha dan Fauzi memuji saya boleh pergi jauh jika rajin berusaha dan mereka banyak memberi nasihat,” katanya yang terlibat sebanyak 16 babak dalam Badang sepanjang 27 hari penggambaran.
![](https://malaysiagazette.com/wp-content/uploads/2018/01/MGF12012018_PhotoshootMutalibMubin01.jpg)
Ditanya watak antagonis yang dilihat serasi dengan raut wajahnya, jejaka kelahiran Kuala Lumpur itu tidak kisah dengan apa watak yang ditawarkan.
Dia juga kini mengakui lebih tertarik dan minat untuk menerima tawaran watak-watak antagonis kerana boleh membina karakter berbeza dalam setiap lakonannya.
Jelasnya, dia tidak risau seandainya dikecam peminat kerana watak tersebut kerana baginya, perkara tersebut membuktikan dia berjaya menjiwai watak tersebut.
Mengulas dunia peragawan yang selalu mendapat tanggapan negatif, Mutalib yang merupakan pemegang Ijazah Kejuruteraan Kuasa Elektrik mengakui senario itu.
“Semua atas diri sendiri tetapi yang penting saya hendak lebih fokus demi kejayaan masa depan.
“Mana-mana godaan saya akan tolak cara baik. Saya suka berkawan dengan ramai orang,” katanya yang masih belum memiliki teman wanita.
Finalis Mr Planet Nation Malaysia 2018 itu juga berkata, dia ingin memberi fokus kepada dunia lakonan dan peragawan ketika dan akan menggunakan ijazah untuk jaminan karier pada masa akan datang. – MalaysiaGazette
TERIMA KASIH PENAJA:
Busana dan Solekan Qif Alvarez (01123588940)