Artis, Dazrin Kamarudin menggayakan baju kurta keluaran DK Collection ketika sesi bergambar di Studio Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Percubaan berani pelakon, Dazrin Kamaruddin mengeluarkan pakaian kurta sejak Disember lalu kini mula membuahkan hasil.

Menerusi jenama DK Collection, perniagaan lelaki berusia 29 tahun itu mendapat sambutan menggalakan apabila sudah terjual hampir 100 helai.

Jelasnya, buat permulaan, dia hanya mengeluarkan 200 helai untuk koleksi pertama bagi menjaga eksklusif pakaian itu yang mana warna dan saiznya adalah terhad.

Artis, Dazrin Kamarudin (tengah) bersama dua model menggayakan baju kurta keluaran DK Collection ketika sesi bergambar di Studio Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JANUARI 2018

“Konsep perniagaan dengan memastikan kurta ini tidak boleh di dapati di mana-mana. Contohnya untuk satu warna dan saiz, hanya beberapa helai dikeluarkan agar pelanggan kami sahaja yang memakai dan sukar untuk terserempak dengan kurta dan warna sama dengan pelanggan lain.

“Apatah lagi, kurta ini kolaborasi dengan pereka fesyen terkenal, Anas Abdullah dan rekaan adalah hasil kreativiti isteri, Nur Fazulin Razali.

“Saya juga memberi jaminan kurta ini bukan diimport dari mana-mana dan sekadar tukar label untuk dijual. Malah kami memiliki kilang sendiri dan fabrik yang diguna berkualiti tinggi,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Dazrin yang juga pelakon dan penyanyi berkata, dia mendapat idea untuk menjalankan perniagaan kurta selepas isterinya sah hamil.

Artis, Dazrin Kamarudin bersama Pereka Fesyen, Anas Abdullah berbincang tentang baju kurta keluaran DK Collection ketika sesi bergambar di Studio Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JANUARI 2018

Jelasnya, Nur Fazlin yang bertugas di syarikat penerbangan tidak lagi terbang bagi menjaga kandungan bayi sulung mereka.

Hasil perbincangan bersama katanya, dia bersetuju mengeluarkan kurta selepas isterinya berminat dalam bidang rekaan fesyen.

“Selepas sambutan menggalakkan untuk koleksi pertama, saya kini merancang mengeluarkan koleksi kedua dikenali DK 2.0.

“Kelainannya adalah dari segi corak dan fabrik yang lebih lembut dan selesa serta lebih menarik boleh dipakai untuk semua majlis tidak kira lelaki dan wanita,” katanya sambil memberitahu kurtanya dijual bermula pada harga serendah RM99 hingga RM189.

Mengulas karier seninya, Dazrin sesekali tidak pernah meminggirkannya apabila baru melancarkan single duet bersama kumpulan antarabangsa Vessbroz yang berjudul No Champion.

Ujar Dazrin, segalanya bermula apabila kumpulan yang dibarisi dua beradik Armia dan Arsham itu menghubungi dirinya dan menawarkan diri untuk berduet bersama.

“Saya berkenalan dengan Vessbroz sudah lama. Bagaimanapun, ketika itu mereka tidak begitu dikenali lagi. Saya juga tidak menyangka mereka akan menghubungi saya semula dan mengajak untuk menghasilkan lagu bersama.

“Jika tiada halangan, lagu berunsur motivasi ini akan dipasarkan ke pasaran antarabangsa tidak lama lagi,” terangnya tersenyum.

Artis, Dazrin Kamarudin (tengah) bersama dua model menggayakan baju kurta keluaran DK Collection ketika sesi bergambar di Studio Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 11 JANUARI 2018

Ditanya mengapa dia melakukan banyak kerja pada satu masa, Dazrin mengakui dia enggan membuang masa lagi.

Apatah lagi, bakal bergelar ayah tidak lama lagi, dia perlu merebut peluang yang boleh menambah pendapatan keluarga.

“Saya kembali aktif ini bukan main-main kerana saya ingin menggunakan semua peluang yang datang dengan sebaik mungkin.

“Pun begitu, bidang lakonan masih menjadi keutamaan. Saya baru tamat penggambaran drama 26 episod yang berjudul Misi Dania Cun untuk tayangan RTM,” katanya.

Dalam pada itu, Dazrin sempat berkongsi lanjut mengenai persiapan menyambut kelahiran bayi sulung hasil perkahwinan bersama Nur Fazulin pada 6 Mei tahun lalu.

“Kami mengetahui berita kehamilan isteri sudah lambat iaitu ketika usia kandungan menginjak empat bulan. Kini kandungan isteri saya sudah berusia lima bulan. Mujur dia tidak mengidam yang pelik-pelik dan tidak banyak kerenah.

“Soal persiapan tentunya saya yang paling teruja. Saya sendiri akan menghias bilik anak kami sebagai tanda menghargai pengorbanan isteri yang telah mengandungkan anak saya,” katanya yang masih belum mengetahui jantina anaknya itu. – MalaysiaGazette