KOTA KINABALU – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman lima hari terhadap dua penolong jurutera Jabatan Kereta Api Negeri Sabah bagi memudahkan penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan perbuatan rasuah dalam projek kereta api di negeri ini.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Cindy McJuce Balitus bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap dua lelaki berkenaan yang masing-masing berumur 38 dan 36 tahun, suspek keenam dan ketujuh dalam kes itu, mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, pegawai pendakwa SPRM Mohd Faliq Basirudin berkata, dua lelaki itu ditahan ketika berada di pejabat mereka di Tanjung Aru dan dibawa ke pejabat SPRM untuk disoal siasat sebelum ditangkap pada kira-kira 9 malam.
Beliau juga berkata, empat individu, termasuk seorang timbalan pengarah Jabatan Kereta Api Negeri Sabah dan seorang kontraktor, dibebaskan dengan ikat jamin hari ini.
Menurutnya, kontraktor berkenaan dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000, RM20,000 daripadanya didepositkan, manakala timbalan pengarah itu dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000, tanpa sebarang deposit dan dua yang lain dibebaskan dengan masing-masing dikenakan ikat jamin RM100,000 dan RM50,000 tanpa didepositkan.
Keempat-empat mereka ditangkap pada 22 Jan, dengan tiap seorang dikenakan ikat jamin oleh dua penjamin dan diperintahkan melaporkan diri ke Pejabat SPRM sekali sebulan
Suspek kelima dalam kes itu adalah kontraktor berumur 60 tahun, yang ditangkap pada 27 Jan dan perintah reman terhadapnya berakhir esok.
Tiga suspek yang berkhidmat dengan Jabatan Kereta Api Negeri Sabah dipercayai menerima lebih RM3 juta daripada kontraktor berkenaan sejak 2011.
SPRM juga melaporkan bahawa pihaknya merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM1.6 juta dan membekukan akaun melibatkan RM5.3 juta dalam beberapa bank berhubung kes itu. – MalaysiaGazette