Home Nasional Thailand benar Malaysia siasat penyeludup dadah yang ditangkap

Thailand benar Malaysia siasat penyeludup dadah yang ditangkap

BANGKOK – Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik Thailand (NSB) bersedia membenarkan rakan sejawatan mereka dari Malaysia untuk menyoal siasat anggota sindiket disyaki yang ditangkap di negara ini semasa cuba menyeludup sejumlah besar dadah ke Malaysia.

Ketua NSB Lt Jen Sommai Kongvisaisuk mengeluarkan kenyataan itu apabila anggotanya memintas sebuah lori yang sarat dengan muatan tembikai dengan menyorokkan 300kg “Ice” (Crystal Methaphetamine) di Nakhon Ratchasima minggu lepas semasa dalam perjalanan ke Narathiwat di selatan Thailand.

Menurut NSB, dadah itu akan diseludup ke Malaysia melalui Sungai Golok, sebatang sungai sempit yang memisahkan Narathiwat dan Rantau Panjang di Kelantan, yang terkenal dengan kegiatan penyeludupan.

“Kami (NSB) mengalu-alukan jika polis Malaysia mahu menyoal siasat suspek yang terlibat dalam pengedaran dadah ke negara ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini, sambil menambah kedua-dua pasukan polis itu sentiasa bertukar-tukar maklumat penting berkaitan rampasan dadah terbaru itu namun enggan mengulas lebih lanjut.

Menurut Sommai, kemungkinan dadah itu akan dihantar ke Australia atau Eropah sebaik tiba di Malaysia, di mana harga dadah itu akan meningkat berlipat kali ganda dan dengan itu menjamin keuntungan maksimum kepada sindiket itu yang menjadi dalang penyeludupan itu.

Tiga lelaki ditangkap di dalam lori yang mengangkut tembikai itu manakala empat orang lagi termasuk dua wanita ditahan di Yala dan Narathiwat dalam operasi polis yang dikaitkan dengan rampasan “Ice” terbabit.

Sumber polis Thailand memberitahu Bernama, mereka juga menyiasat rampasan 200kg “Ice” di Chumphon, selatan Thailand juga pada minggu lepas dan sama ada ia berkaitan dengan sindiket yang sama mahu menyeludup 300kg “Ice” itu ke Malaysia.

“Gaya dan warna pembungkusan dadah itu hampir sama, menyebabkan kami mengesyaki sindiket yang sama menjadi dalangnya,” katanya, sambil menambah kedua-dua konsainan dadah itu dipersiapkan untuk selatan Thailand sebelum ke Malaysia.

Sommai, pegawai tertinggi Thailand dalam memerangi penyeludupan dadah itu juga berkata, Bangkok dan Putrajaya telah menjalin kerjasama mantap dan berterusan dalam memerangi sindiket dan penyeludupan dadah.

“Sekiranya kita dapat memintas mereka (penyeludup dadah), polis Malaysia akan menunggu mereka,” katanya dan menambah selain Malaysia, Thailand juga mendapat kerjasama yang baik daripada Myanmar dan Laos dalam membanteras pengaliran dadah terutama dari kawasan Segi Tiga Emas.

Selama beberapa dekad, kawasan Segi Tiga Emas, yang terletak di kawasan sempadan utara Thailand, Laos dan Myanmar, menjadi satu daripada dua kawasan pengeluaran opium terkemuka di rantau Asia selain Afghanistan, namun pada masa ini ia juga merupakan antara pengeluar dadah sintetik yang terkenal di dunia.

Menurut satu sumber, pegawai antidadah Thai sentiasa berhubung dengan rakan sejawatan mereka di Malaysia terutama pegawai yang ditempatkan di sepanjang kawasan sempadan.

“Berhubung rampasan 300kg ‘Ice’ terbabit, kami bertukar-tukar maklumat dengan Malaysia untuk mengesan dalangnya,” katanya namun enggan mendedahkan indentitinya disebabkan sensiviti maklumat yang dikongsi beliau.

Menurut sumber berkenaan, 300kg “Ice” untuk Malaysia itu berasal dari Shan di Myanmar yang dikenali sebagai satu daripada kawasan paling aktif mengeluarkan Methaphetamine, di mana kerajaan pusat di Yangon mengenakan kawalan terhad berikutan kehadiran pelbagai kumpulan bersenjata.

Dari Shan, dadah itu akan dihantar ke Laos dan melintasi Sungai Mekong ke Thailand di mana ia memulakan perjalanan ke selatan Thailand melalui laluan darat di timur laut negara itu. – MalaysiaGazette