Ahli JKKK Kampung Baru Felda Lurah Bilut, Sivakumar Manickam menunjukkan gambar Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein di Muzium Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 03 FEBRUARI 2018

BENTONG – Bapa borek, anak rintik, begitulah perumpamaan paling tepat menggambarkan antara pengasas Felda, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan pencetus transformasi tanah rancangan itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Felda pertama di Malaysia itu tidak terkecuali daripada arus pembangunan dan terkini dengan peruntukan RM30 juta setahun, ia bakal bertukar wajah daripada pertanian kepada bandar pintar sejajar dengan kepesatan ekonomi digital.

Replika contoh rumah peneroka di Muzium Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 03 FEBRUARI 2018

Lembah Digital Bilut yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kurang 24 jam dari sekarang bakal mentransformasikan tanah rancangan pertanian itu dengan kemudahan jalur lebar khususnya capaian internet berkelajuan tinggi.

Menerusi inisiatif Felda 2.0, masyarakat peneroka berpeluang menikmati limpahan ekonomi digital melalui bidang keusahawanan dalam talian, pertanian moden serta ekopelancongan.

Sebagai permulaan, projek itu telahpun dimulakan dengan pembangunan infrastuktur lain seperti Muzium FELDA, inap desa, taman rekreasi, ruang perniagaan Dataran Tun Razak, landskap sungai serta laluan pejalan kaki di tebing sungai sebagai tarikan pelancong.

Replika contoh rumah peneroka di Muzium Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 03 FEBRUARI 2018

Sebagai simbolik perasmian Felda 2.0 itu juga, Perdana Menteri yang dijadualkan tiba kira-kira 2 petang nanti akan menjelajah beberapa ‘checkpoint’ utama dalam Lurah Bilut.

Sebelum Perdana Menteri memulakan jelajah ke Lembah Digital itu, beliau berehat sebentar menikmati hidangan tengahari di kediaman generasi ketiga Felda Lurah Bilut, Najwa Ahmad yang berdekatan dengan stesen Petronas.

Rumah yang akan menjadi tempat rehat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari pelancaran Felda 2.0 di Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 03 FEBRUARI 2018

Pejabat Rancangan Felda Lurah Bilut yang diubah menjadi Muzium Felda antara lokasi utama kunjungan Perdana Menteri yang mempamerkan sejarah pembukaan tanah rancangan itu sejak 1958.

Selain itu, Perdana Menteri juga akan meniti jambatan kayu merentasi Sungai Bilut iaitu Titian Razak yang pernah dilalui oleh ayahandanya, Tun Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai ‘Bapa Pembangunan Negara’.

Pintu masuk utama Muzium Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 03 FEBRUARI 2018

Lukisan mural di kilang baja turut mendapat perhatian Perdana Menteri nanti dan ia menjadi lokasi berswafoto pemimpin negara itu bersama masyarakat peneroka Felda yang hadir dari seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast