Fenomena air pasang besar melanda daerah Pontian hari ini namun penduduk meneruskan aktiviti seperti biasa

PONTIAN – Fenomena air pasang besar yang berlaku di daerah ini sejak Ahad lalu tidak merencatkan aktiviti harian penduduk dan kedai-kedai tetap dibuka seperti biasa.

Air pasang itu melanda hingga setinggi 3.5 meter (m) menyebabkan laluan masuk ke Pekan Kukup, di sini, dinaiki air dan limpahan air terjadi di Taman Negara Johor Tanjung Piai pada pagi tadi.

Penduduk Kampung Melayu Kukup, Iskandar Ahmad, 50, berkata, fenomena berkenaan bermula pada pukul 11 pagi.

Katanya, penduduk dari beberapa buah kampung di Pekan Kukup sudah membuat persediaan awal dengan mengalihkan kenderaan serta barangan lain ke tempat lebih selamat.

“Air pasang kali ini mencecah paras setinggi 3.5 m. Hari ini merupakan hari ketiga air pasang besar berlaku sejak Ahad lalu.

“Setakat ini air tidak melimpah ke dalam rumah, tetapi tetap berjaga-jaga bimbang jika hujan keadaan akan jadi lebih teruk,” katanya ketika ditemui.

Iskandar berkata, peniaga di Pekan Kukup tetap menjalankan perniagaan dan kawasan terbabit masih dikunjungi pengunjung luar termasuk dari Singapura.

“Bagi orang luar dari Pontian, memang akan terkejut tengok keadaan Pekan Kukup yang dinaiki air ketika air pasang dan surut semula selepas sejam kemudian.

“Tetapi bagi kami, sudah lali. Biasanya penduduk akan redah air yang melimpah di Pekan Kukup untuk ke kedai dan urusan harian,” ujarnya.

Peniaga Kedai Mi Udang di Rambah, Hamidah Abu memberitahu, air mula memasuki kedainya pada pukul 10.30 pagi.

Keadaan itu katanya, menyebabkan dia bersama-sama lima pekerja terpaksa menyiapkan baldi, penyapu dan mop untuk melakukan kerja-kerja pembersihan sebaik air surut sejam kemudian.

“Memang beginilah keadaan kedai setiap kali air pasang, pasti kedai yang terletak Jeti Nelayan Rambah dinaiki air terutama pada hujung tahun.

“Kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan segera, kerana kedai akan buka pada jam 1 tengah hari,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelia Taman Negara Johor Tanjung Piai, Hanif Aminuddin berkata, air pasang besar hari ini adalah setinggi 3.5 meter mengambil masa dua jam untuk surut.

Menurutnya, air pasang besar kali ini merupakan kejadian kedua berlaku pada akhir tahun selepas terjadi pada pertengahan November lalu.

“Kejadian air pasang besar semakin kerap pada hujung tahun. Untuk bulan ini, limpahan air akibat kejadian air pasang besar akan berlaku dua hari, pada Selasa dan Rabu.

“Semasa kejadian air pasang besar, tiada jualan tiket dibuka kepada pengunjung kerana kawasan dilimpahi air termasuk di kawasan mercu tanda penghujung benua Asia.

“Pengunjung yang datang biasanya tidak melepaskan peluang untuk bermandi-manda di dataran berdekatan pintu masuk dengan dikawal oleh petugas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast