KUALA LUMPUR – Semua kerajaan negeri perlu meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam masing-masing, kata Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.
Katanya, pindaan itu bertujuan memberi kuasa kehakiman kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar semakan kehakiman atas apa keputusan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri atau institusi Islam di peringkat negeri.
Beliau berkata, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M Indira Ghandi lawan Mohd Ridhuan Abdullah pada 29 Januari lalu, PGSM mengeluarkan beberapa syarat yang perlu diberi perhatian oleh setiap kerajaan negeri.
“PGSM sedar dalam kes berkenaan, Mahkamah Persekutuan menggunakan kuasa semulajadinya untuk melakukan “judicial review” bagi menentukan keesahan Perakuan Memeluk Islam yang dikeluarkan Pendaftar Muallaf, Jabatan Agama Islam Perak, di bawah Majlis Agama Islam Perak.
“Mahkamah Persekutuan menyatakan, Perakuan Pemelukan Islam itu tidak sah atau batal di sisi undang-undang, lantaran “anak-anak tersebut” tidak melafazkan dua kalimah syahadah sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 96 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perak) 2004,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Serentak itu, menurut Musa, PGSM berpandangan apa yang diputuskan Mahkamah Persekutuan itu disebabkan Mahkamah Syariah tidak diberi kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh mana-mana jawatankuasa atau institusi di bawah Majlis Agama Islam.
Disebabkan itu, katanya, apabila ada pihak tidak berpuashati dengan keputusan dibuat oleh mana-mana institusi Islam, kebanyakannya akan dibawa ke mahkamah sivil.
“Di situlah berlakunya campur tangan mahkamah sivil terhadap perkara yang sepatutnya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah.
“Oleh itu, PGSM menggesa dan mencadangkan semua kerajaan negeri meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dengan memasukkan peruntukan tambahan yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi majlis, di bawah Enakmen berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pindaan sedemikian telah pun dilakukan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Mei 2015 dengan memasukkan peruntukan baharu Seksyen 66A dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2015).
Pindaan itu, ujar beliau, berkenaan Seksyen 66A iaitu bidang kuasa Mahkamah tinggi syariah bagi semakan kehakiman 66A.
“Bagi seksyen itu, Mahkamah Tinggi Syariah boleh demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran dan mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah Enakmen ini.
“Keputusan mengejutkan Mahkamah Persekutuan itu sepatutnya menjadi “wake-up call” kepada pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama negeri untuk segera memperkemaskan undang-undang syariah masing-masing.
“Ini supaya dapat melindungi kepentingan orang Islam dan tidak memberi sebarang ruang untuk dibawa ke mahkamah sivil, dalam memutuskan perkara berkaitan orang Islam,” katanya. – MalaysiaGazette