KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa komited bagi memastikan martabat para pekerja dalam negara terus dipertahan dan diperkasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, agenda pembangunan negara tidak akan berjaya tanpa keadilan sosial yang menempatkan pekerja sebagai tunjang utama kemajuan yang inklusif dan berdaya saing.
“Kita berdiri hari ini hasil usaha gigih jutaan pekerja yang sabar dan setia menjalankan amanah.
“Tidak kira di mana anda berada atau apa jua tugas yang dipikul, jasa anda memberi erti besar kepada kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook sempena Hari Pekerja, hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua tenaga pekerja dalam negara.
Sebagai rekod, tema Hari Pekerja pada tahun ini adalah ‘Pekerja Kesuma Bangsa’.
Tema tersebut menggambarkan betapa mulianya peranan setiap pekerja dalam membina masa depan Malaysia yang lebih baik.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri sambutan Hari Pekerja Kebangsaan 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada hari ini.- MalaysiaGazette
















