Ketua Wanita Barisan Nasional, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil beramah mesra dengan sebahagian warga emas ketika hadir ke program Ziarah Sayang sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Jagaan Warga Emas Selangor King George V, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil memberi bayangan beliau sudah bersiap sedia untuk bertanding dalam mana-mana kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) itu menjelaskan, segala keputusan berkaitan status politik beliau terletak di tangan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak untuk dimuktamadkan.

“Sebenarnya ini bukan urusan saya, segala pertimbangan mengenai kedudukan saya terletak di tangan Pengerusi BN (Najib).

“Kita sebagai orang politik mesti bersedia untuk menghadapi segala-galanya, tetapi semuanya terpulang kepada Perdana Menteri.

“Saya sebelum itu perlu menentukan pejuangan jentera wanita BN dan calon wanita supaya mendapat perhatian perdana Menteri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Penyampaian Sumbangan bersempena Tahun Baru Cina 2018 kepada 125 warga emas wanita di Pusat Penjagaan Warga Emas Selangor King George V Silver Jubilee di Jalan Loke Yew di sini.

Sebelum itu, Shahrizat disebut-sebut akan menjadi calon bagi BN di Parlimen Sungai Besar.

Turut hadir pada majlis yang sama ialah Setiausaha Agung Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad, Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Sei Kie dan Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy.

Tambah Shahrizat,  program tahunan anjuran Jentera Wanita BN itu bertujuan untuk meraikan warga emas, orang kurang upaya dan yang memerlukan semasa sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

Ditanya mengenai desas desus yang mengaitkan beliau akan membuat kemunculan semula dengan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar, Shahrizat berkata; “Terima kasih kepada semua yang bercakap saya akan bertanding di sana sini dalam politik biarlah orang mahukan kita.”

“Bagaimanapun semuanya terpulang kepada Pengerusi BN,” tegasnya lagi dan enggan mengulas lebih lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast