KUALA LUMPUR – Draf undang-undang baharu bagi membendung berita palsu sudah siap dirangka dan akan dibentangkan kepada Kabinet selepas jawatankuasa khas bermesyuarat sekali lagi pada Rabu.
Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Azalina Othman Said undang-undang itu kelak akan berkait rapat dengan beberapa akta yang sedia ada dalam negara.
“Pandangan Jabatan Peguam Negara, pakar dari universiti dan agensi berkaitan amat penting untuk memperkemaskan undang-undang baharu ini.
“Akta sedia ada seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diguna pakai sejak 30 tahun lalu, jelas tidak lagi releven.
“Selain itu, undang-undang baharu ini perlu dibacakan bersama akta sedia ada seperti Akta Percetakan, Akta Komputer dan Akta Multimedia. Justeru, terdapat beberapa perkara teknikal perlu diperkemaskan,” katanya dipetik sebagai berkata pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Akaun Amanah Bantuan Guaman di Jabatan Guaman Selangor di Shah Alam.
Mewakili kerajaan, Azalina menyuarakan harapan agar undang-undang baharu itu berpeluang untuk dibawa ke Parlimen pada Mac kelak.
Beliau turut menafikan undang-undang itu ditubuhkan untuk melindungi ahli politik semata-mata sebaliknya ia menyeluruh, membabitkan semua golongan meliputi anak seni, individu dan institusi.
“Bukan ahli politik sahaja kena tempias berita palsu, tetapi artis pun kena, rakyat biasa pun kena. Perubahan dunia menyebabkan kita tiada tapisan lagi,” katanya. – MalaysiaGazette