Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Ir Guntor Tobeng (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic , Nazlee Khalifah (dua dari kanan) sambil disaksikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Ahmad Maslan (tengah) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Pembiayaan Strategik Affin Islamic Bank Berhad dan Gading Kencana Development Sdn Bhd di Manara Affin di sini hari ini .

KUALA LUMPUR – Syarikat bertaraf global dalam bidang tenaga diperbaharui, Ga­ding Kencana Sdn. Bhd. (GKSB) terus melebarkan sayap apabila sedang membina Projek Solar Photovoltaic Berskala Besar (LSSPV) 30 megawatt (MW) di Bidor, Perak bernilai RM214 juta.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, kerja-kerja awal projek itu bermula Jun 2016 dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini.

Beliau berkata, melibatkan ladang solar seluas 39.65 hektar dan Bidor dipilih berdasarkan memiliki kadar pancaran matahari yang baik dengan jumlah kumulatif purata data penyinaran setahun adalah 1695.2 kwh/m2.

“Kapasiti pengeluaran projek adalah 30  megawatt (mW) dengan menggunakan 110,500 keping solar modul buatan Malaysia.

“Ia juga telah memberi peluang pekerjaan kepada lebih 300 orang terutama anak tempatan selain mampu memberi pendapatan kepada Kerajaan Perak sebanyak RM14 juta.

“Apabila beroperasi kelak, ladang solar di Bidor ini akan menjadi pemangkin dalam usaha GKSB menerokai pasaran yang lebih luas di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis mengumumkan usahasama GKSB bersama Affin Islamic Bank di sini hari ini.

Ir Guntor Tobeng

Majlis menandatangani perjanjian usaha sama strategik tersebut disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Nazlee Khalifah.

Menerusi kerjasama itu, Affin Islamic akan memberi pembiayaan berjumlah RM130.34 juta untuk projek tersebut selama 16 tahun.

Sementara itu, Nazlee berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Gading Kencana bagi menyokong inisiatif kerajaan dalam projek kelestarian tenaga di Malaysia.

Dalam pada itu, GKSB ketika ini turut memiliki ladang solar panel seluas tujuh hektar di Bandar Hijau Hang Tuah Jaya di Melaka yang mula ber­operasi sejak Disember 2014.

Ladang itu ber­upaya menjana tenaga solar sebanyak 11.5 juta kilowatt (kW) setahun dengan kapasiti pengeluaran lapan mW dalam satu-satu masa.

GKSB ditubuh pada 20 Julai 1993 dengan modal dibenarkan RM25 juta dengan menjalankan beberapa projek solar di seluruh negara dan luar negara. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast