PUTRAJAYA – Bayangan mengenai pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan diadakan selepas April semakin menjadi kenyataan.
Malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran urusan kerja Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjadi lebih sibuk pada April ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perhimpunan bulanan KDN akan dijalankan seperti biasa setiap bulan tetapi menjangkakan akan mula sibuk pada Mac dan akan lebih sibuk lagi pada April, namun tidak menyebut secara spesifik mengenai maksud kata-katanya itu.
“KDN akan mengadakan himpunan setiap bulan, bulan Mac mungkin lebih sibuk dan bulan April mungkin lebih sibuk sedikit lagi,” kata beliau semasa himpunan bulanan KDN di Putrajaya hari ini.
Teka-teki bila PRU14 menjadi isu utama yang diperkatakan orang ramai, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula memberi gambaran PRU14 mungkin diadakan sebelum 14 Julai tahun ini.
Tempoh mandat Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional akan berakhir 24 Jun 2018.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggesa supaya warga KDN meningkatkan mutu perkhidmatan dan membuat lonjakan untuk berada di hadapan.
“Oleh demikian dalam himpunan setiap bulan KDN, kita perlu melihat kepada diri sendiri dengan buat self criticism di samping kita melakukan beberapa lonjakan untuk berada di hadapan.
“Kita tahu Strategi Lautan Biru (NBOS) adalah merupakan fasa pertama dalam usaha Perdana Menteri bagi melakukan transformasi dalam beberapa bidang.
“Kini Strategi Lautan Biru ini telah berada di fasa kedua iaitu lonjakan NBOS, ertinya kita perlu melakukan lonjakan yang lebih daripada sekarang,” ujarnya. – MalaysiaGazette