KUWAIT – Mayat seorang pembantu rumah warga Filipina yang disyaki didera sehingga mati ditemui dalam sebuah peti beku (freezer) di sebuah flat di Kuwait.
Penghuni flat tersebut, lelaki warga Lebanon dan isterinya warga Syiria, yang telah mengosongkan kediaman mereka disyaki membunuh pembantu rumah berkenaan dan meletakkan mayat tersebut dalam peti beku kira-kira setahun lalu.
Pemilik flat berkenaan telah menerima perintah mahkamah untuk mengusir penyewa yang tidak membayar sewa pada tahun sebelumnya. Perjanjian sewaan dilakukan atas nama isteri penyewa.
Menurut masrawy.com yang memetik akhbar Kuwait, Al Rai, selepas menghantar mayat untuk dibedah siasat, mereka mendapati pembantu rumah itu bekerja untuk lelaki warga Lebanon itu. Lelaki tersebut telah memfailkan laporan kehilangan pembantu rumah itu dua hari sebelum meninggalkan Kuwait.
Secara kebetulan, penemuan mayat itu dilihat selari dengan kenyataan Filipina yang menggantung penghantaran pekerja warga negara itu ke Kuwait berikutan kes-kes penderaan domestik yang menjurus kepada membunuh diri.
Lelaki tersebut dikehendaki polis kerana mengeluarkan cek palsu.
Duta Filipina ke Kuwait, Renato Pedro O. Villa berkata, kedutaan itu telah melancarkan siasatan sebaik sahaja mengetahui perkara itu.
Pemeriksaan masih tidak mengesahkan jika pembantu rumah tersebut adalah warga Filipina.
Interpol, akan dimaklumkan mengenai lelaki warga Lebanon dan isterinya dan amaran merah akan dikeluarkan untuk menahan pasangan tersebut yang didakwa membunuh pembantu rumah mereka. – Agensi