Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pada masa ini caj sedia ada masih dikekalkan sehingga RM270 bagi kereta dan van.
“Caj penundaan itu bukan untuk kereta, kadar itu untuk lori dan bas yang kita tarik sebab penduduk buat aduan di mana kenderaan berat dan besar ini meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.
“Penduduk mengadu bila keadaan ini berlaku, penduduk tiada tempat untuk meletakkan kereta mereka,” katanya ketika menghubungi MalaysiaGazette, hari ini.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan MBSA didakwa menaikkan caj penundaan kereta sehingga 640 peratus atau maksimum RM2,000 dan ia menimbulkan keresahan kerana caj baharu itu membebankan orang ramai.
Menurut sumber MalaysiaGazette yang berkongsi sekeping gambar tertera notis penguatkuasa PBT itu mendapati pesalah dikenakan caj penundaan kenderaan maksimum RM2,000 tidak termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus.
Bayaran itu tidak termasuk kompaun kapit roda sebanyak RM300 sebuah, kos penyimpanan kenderaan RM50 (sebelum GST) kadar sehari dan kompaun buka di tapak sehingga RM1,000 (kenderaan berat).
Shahrin berkata, gambar notis penundaan kereta itu cuba dimanipulasikan pihak tertentu untuk menjejaskan imej MBSA, lebih-lebih lagi PBT itu kini di bawah Kerajaan Pakatan Harapan Selangor.
“Caj tunda kereta tak ada sampai RM2,000 dan mereka cuba putar belit hal ini, MBSA tak kejam nak caj tinggi macam itu.
“Notis itu (dalam gambar) mungkin ada orang cuba kenakan MBSA, kalau pemilik kereta ambil di depoh tunda kita, mereka hanya dikenakan RM260 saja, tidak termasuk caj simpanan harian sebanyak RM10 saja,” jelasnya.
Bagaiamanpun katanya, caj penundaan sehingga RM2,000 itu hanya dikenakan kepada pemandu lori dan bas yang meletakkan kenderaan itu di bahu jalan dalam kawasan perumahan.
“Tindakan pemandu dan bas ini boleh membahayakan pemandu lain dan menghalang lalu lintas.
“Sebab itu kita letak notis itu, caj itu tinggi sebab kita terpaksa menggunakan lori penunda yang besar melibatkan kos tinggi,” katanya.
Katanya lagi, lazimnya MBSA akan memberikan pengurangan caj penundaan itu sehingga RM150 kepada pemilik kereta persendirian.
“Biasanya orang ramai akan minta kurangkan kompaun ini dan kita boleh beri diskaun sehingga RM150 saja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.