KUALA LUMPUR – Dua lagi penyanyi yang diminta memberi keterangan susulan laporan polis dibuat pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil sehingga kini masih gagal tampilkan diri.
Jelas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmar, kedua-dua individu terbabit adalah Osh daripada kumpulan nasyid Firdaus dan Ahmad Tajudin yang menganggotai sebuah kumpulan R&B, yang popular sekitar tahun 90-an.
“Kita harap mereka berdua dapat memberi kerjasama dengan tampil memberi keterangan secepat mungkin bagi membantu siasatan.
“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, kita akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut prosedur ditetapkan,” katanya menerusi sebuah portal online.
Terdahulu Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor memberitahu pihaknya memberikan masa 24 jam kepada dua individu terbabit untuk berjumpa polis dan memberikan keterangan berhubung dakwaan Farid yang minumannya dimasukkan dadah.
Farid pada 11 Januari lalu ditahan kerana menyerang seorang anggota polis dan seorang orang awam di Balai Polis Kota Damansara.
Pelakon itu kemudiannya pada 31 Januari membuat satu laporan polis mendakwa tiga rakan artis salah seorangnya ialah Sofi Jikan bertindak memasukkan dadah ke dalam minuman dan rokonya sehingga mendorong dia bertindak ganas di sebuah balai polis, bulan lalu.-MalaysiaGazette