Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Sektor perkhidmatan Malaysia mencatatkan pendapatan kukuh sebanyak RM399.7 bilion pada suku keempat 2017.

Jabatan Statistik berkata, penyumbang utama adalah daripada dagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang mewakili jumlah sebanyak RM316.2 bilion, berkembang sebanyak 8.5 peratus.

Pendapatan keseluruhan sektor perkhidmatan meningkat kepada RM399.7 bilion disokong oleh segmen profesional dan ejen hartanah (14.7 peratus), kesihatan, pendidikan dan seni, hiburan dan rekreasi (8.6 peratus), dagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan (8.5 peratus).

Keseluruhan pendapatan pada perbandingan sukuan turut meningkat sebanyak RM12.1 bilion atau 3.1 peratus.

“Lebih ramai yang telah bekerja dalam sektor perkhidmatan, meningkat sebanyak 76,042 orang kepada 3.6 juta.

“Jumlah ini lebih tinggi sebanyak 2.1 peratus berbanding tahun lalu,” kata jabatan tersebut dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada suku keempat 2017, upah dan gaji yang dibayar meningkat sebanyak lima peratus kepada RM23.8 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu. – MalaysiaGazette