Kluster Perpaduan Nasional, Prof Dr. Sivamurugan Pandian berucap pada Wacana Ilmuwan Sambutan Hari Malaysia Majlis Profesor Negara 2017 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2017.
KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO Bahagian perlu memberi laluan kepada calon lain sekiranya berpotensi memenangi kerusi yang ditewas atau majoriti marginal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Ahli Jawatankuasa Kluster Perpaduan Nasional, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, formula itu ternyata berkesan meningkatkan majoriti undi di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada pilihan raya kecil pada 18 Jun 2016.

“Bagi saya, itu formula terbaik, seperti juga di Kota Kinabalu, Sabah kerana kita lihat apa yang berlaku di Sungai Besar itu perlu ada nilai pengorbanan dan kompromi cukup tinggi.

“Ia dilakukan daripada mereka yang merasakan mahu menjadi calon, bersedia untuk memberikan laluan kepada calon bukan berjawatan dalam UMNO Bahagian itu,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, semalam.

Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Sungai Besar pada 18 Jun 2016, Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Seri Jamal Md Yunos memberi laluan kepada ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi untuk menjadi calon.

Tindakan Jamal membuahkan hasil apabila Barisan Nasional (BN) menang besar dengan menewaskan dua pencabarnya, ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan Azhar Abdul Shukur dari parti Amanah dengan majoriti 9,190 undi.

PRK Sungai Besar diadakan berikutan penyandangnya, Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon selaku Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi maut bersama lima yang lain dalam nahas helikopter di Sarawak pada Mei 2016

Parlimen Sungai Besar dianggap kerusi marginal BN susulan penyandangnya hanya mendapat majoriti 399 undi menewaskan calon Pas, Mohamed Salleh M Husin dalam PRU13 pada 2013 lalu.

Sivamurugan juga tidak menolak kemungkinan calon luar yang diberi laluan itu akan mencabar penyandang Ketua UMNO Bahagian dalam pemilihan parti akan datang susulan kemenangannya dalam pilihan raya lalu.

“Kita juga mesti mengaitkan dengan pemilihan parti yang akan datang, sebabnya kalau seorang ketua bahagian atau jawatan tertinggi tidak dipilih, tetapi seorang lain daripada parti sama yang dipilih

“Selepas PRU14 sudah pasti calon baharu ini akan mahu memberikan persaingan dalam konteks pemilihan parti (UMNO).

“Melainkan calon itu berkata ‘saya okay jadi calon pada PRU14, kekal sebagai calon atau jawatan dalam parti kepada yang sedia ada,” jelasnya.

Katanya, semua nilai pengorbanan dan kompromi tinggi itu perlu dilihat dalam memastikan sesuatu kerusi Parlimen itu dimenangi dalam pilihan raya.

“Apa yang penting ialah (persefahaman dan tolak ansur) bagi mengelakkan daripada berlaku sabotaj dalaman besar-besaran yang berlaku pada 1999 dan 2008 di Terengganu.

“Formula ini baik tetapi harus dilihat secara terperinci dengan hasrat untuk menang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast