KOTA KINABALU – Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Alan Peter Schramm Cayetano telah menjelaskan bahawa Manila tidak terlibat dalam kenyataan mengenai isu berkaitan tuntutan ke atas Sabah.

Beliau berkata semasa Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Singapura baru-baru ini, beliau tidak membangkitkan perkara mengenai tuntutan ke atas Sabah sambil berkata tuntutan itu tidak pernah diiktiraf oleh Malaysia dan kerajaan negeri Sabah.

Tetapi beliau berkata, Cayetano telah menemuinya untuk menjelaskan bahawa, “kerana politik, ada seseorang yang cuba mempromosikan dirinya”, dan menambah Setiausaha Luar Filipina itu tidak menyebut sebarang nama.

“Beliau (Cayetano) berkata Malaysia dan Filipina menjalin hubungan dua hala yang baik, jadi kami tidak mahu satu kenyataan mengeruhkan hubungan kami.

“Saya hanya mengucapkan terima kasih dan kami sangat menghargai penjelasan itu,” kata beliau ketika ditemui pemberita pada program bersama masyarakat Cina di kawasan Parlimen Kimanis di sini pada Jumaat.

Bulan lepas, anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina, Aquilino Pimentel Jr, yang dilantik untuk mengkaji Perlembagaan Filipina 1987 berkata, beliau akan mencadangkan kemasukan Sabah dalam Filipina sebagai sebahagian daripada peralihan negara itu ke sistem kerajaan persekutuan.

Anifah juga berkata, butiran mengenai hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 sedang dibincangkan dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

“Terdapat perbincangan mengenai beberapa butiran dan kami merujuk mengenai hasil yang boleh dicapai.

“Ia adalah proses yang berterusan…tetapi ia amat menggalakkan (dengan Peguam Negara), jadi saya meminta supaya kita dapat mengemukakan sesuatu kepada Perdana Menteri dan Kabinet menjelang akhir bulan ini,” kata beliau.

Semasa Perhimpunan Agung UMNO pada Disember tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan bersedia, untuk memberi balik hak-hak Sabah dan Sarawak yang mungkin terambil pada masa lepas seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast