KUALA LUMPUR – Lagu Jampi nyanyian Hael Husaini dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) yang berlangsung di Axiata Arena di Bukit Jalil malam ini.
Gandingan mantap komposer dan penulis lirik oleh Hael sendiri bersama Ezra Kong ternyata membawa tuah sehingga melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM50,000 berserta trofi dan baucer CJ WOW Shop RM10,000.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Azmi Caliph Buskers menerusi lagu Sejati.
Lagu dan lirik ciptaan Faizal Tahir yang penyanyi asal dan Mike Chan itu berjaya membawa pulang trofi berserta hadiah wang tunai RM35,000 dan baucer CJ Wow Shop RM2,000.
Sementara itu, lagu nyanyian Haqiem Rusli meraih tempat ketiga.
Selain trofi, lagu dan lirik ciptaan Gufran serta Ibnu itu meraih hadiah wang tunai RM20,000 dan baucer CJ Wow Shop RM2,000.
Persembahan vokal mantap Syamel & Ernie Zakri sewaktu menyampaikan lagu Aku Cinta melayakkan memenangi kategori Vokal Terbaik buat kali ketiga berturut-turut.
Mereka membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM12,000 dan trofi serta baucer CJ Wow Shop RM2,000.
Persembahan Terbaik yang menawarkan hadiah wang tunai RM12,000 selain trofi dan baucer CJ Wow Shop RM2,000 pula menjadi milik Altimet menerusi Amboi.
Sementara itu, kesemua 12 buah lagu yang bertanding dinilai oleh barisan juri profesional terdiri daripada Edrie Hashim, Pak Ngah, Azlan Abu Hassan, Sharon Paul, Helen Yap, Datuk Mokhzani Ismail dan Azmeer selaku ketua juri.
Dalam pada itu, AJL32 turut diserikan dengan persembahan hebat oleh Stacy, AG Coco, Edrie Hashim, Waris, Datuk Awie, Siti Sarah, Datuk A. Rahman Hassan dan Datuk Jeffrey Din.
AJL32 dihoskan Alif Satar dan Sherry Al Hadad serta dibawa khas oleh Nivea Face Care, Nivea Pearl White Whip Foam dan Samsung Galaxy A8 | A8+. – MalaysiaGazette