Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan bercakap pada sidang media mengenai pengumuman dividen EPF 2017 bagi simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah di Bangunan KWSP, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 FEBRUARI 2018

KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merancang untuk meneroka pasaran baharu yang sudah maju dan mempunyai pertumbuhan baik seperti Amerika Latin tahun ini.

Ia dalam usaha pihaknya untuk meningkatkan keseluruhan aset globalnya kepada 32 peratus berbanding 28 peratus sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, sebagai sebuah entiti pelaburan, ia perlu sentiasa mencari peluang-peluang pelaburan yang baharu bagi mengurangkan impak sekiranya pasaran sedia ada contohnya Eropah atau United Kingdom merosot disebabkan pelbagai faktor antaranya Brexit dan situasi politik.

“Walaupun hanya 28 peratus, kami merasakan ia masih cukup bagus kerana ia memberikan kami pulangan yang tinggi dan menyediakan diversifikasi kepada pelaburan kami.

“Ini kerana selain pulangan, pengurusan risiko adalah sesuatu yang lebih penting kepada KWSP. Ia membolehkan kami memastikan KWSP memiliki aset-aset dalam pasaran industri yang betul dan mengurangkan kesan daripada sebarang kemerosotan ekonomi mahu pun sesetengah pasaran,”katanya semasa taklimat media Dividen KWSP 2017 di sini hari ini.

KWSP menurut Shahril Ridza, mempunyai portfolio pelaburan di 30 pasaran berbeza yang mana kebanyakkannya adalah negara-negara maju, Asia Utara dan ASEAN.

Ketika ditanya mengenai impak Pilihan Raya Umum ke-14 terhadap pasaran, beliau berkata, ia hanya memberi kesan sementara dan tidak menjejaskan KWSP sebagai pelabur jangka masa panjang secara keseluruhannya.

“Sesuatu yang baik tentang Malaysia adalah kita tahu bila pilihanraya akan dilakukan jadi tiada isu ketidaktentuan di situ tetapi kebanyakan pelabur sebenarnya memberi fokus kepada prestasi korporat.

“Sebarang acara atau pun berita politik hanya mempunyai kesan sebentar sahaja kepada pasaran.

“Bagi kebanyakan pelabur jangka panjang yang dipacu oleh faktor-faktor makroekonomi dan struktur yang mempengaruhi unjuran kami.

“Bagi perspektif pelabur, kami sebenarnya sangat selesa dengan keadaan keseluruhan makro ekonomi yang agak baik, eksport mencatatkan pertumbuhan tertinggi, pertumbuhan domestik juga baik dan kita mula melihat jumlah caruman meningkat apabila pertumbuhan sebenar 2017 mula menunjukkan data pertambahan pekerjaan baharu ke dalam pasaran, pendaftaran majikan baharu dan ini menunjukkan banyak peluang pekerjaan telah dibuka,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast