Foto laman web Manchester City FC.

PARIS – Skuad paling mahal dalam sejarah bola sepak kini menjadi Manchester City yang bernilai 878 juta euro (RM4.2 bilion), lapor AFP.

Menurut laporan yang diterbitkan oleh agensi pemantau bola sepak CIES yang berpangkalan di Switzerland, skuad Pep Guardiola meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) di tempat kedua dengan jumlah 805 juta euro (RM3.9 bilion).

Ia meletakkan Guardiola sebagai pengendali kelompok pemain paling mahal dalam sejarah.

Pada jendela perpindahan bulan lalu, City berbelanja lagi apabila mendapatkan bek tengah, Aymeric Laporte dari Athletic Bilbao pada harga 65 juta euro (RM314.9 juta).

Perpindahan termahal dunia membabitkan Neymar dari Barcelona hampir separuh daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan PSG.

Kylian Mbappe yang dipinjamkan pula berharga 180 juta euro (RM872 juta) yang perlu dibayar kepada Monaco menjelang akhir musim ini.

Dua pasukan lain yang membelanjakan lebih daripada 700 juta euro (RM3.4 bilion) untuk membentuk skuad mereka adalah Manchester United (RM3.6 bilion) dan Barcelona (RM3.5 bilion).

Sementara itu, pasukan-pasukan lain yang mengisi kelompok 10 teratas ialah Real Madrid di tangga keenam, Juventus kelapan dan empat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Everton.

Kajian itu turut mengira purata kos skuad EPL yang mencatat nilai tertinggi 291 juta euro (RM1.4 bilion), jauh mengatasi kos purata skuad La Liga pada 131 juta euro (RM634.6 juta). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast