Home Nasional Stadium Shah Alam: Kalau tak nak, BN tak paksa

Stadium Shah Alam: Kalau tak nak, BN tak paksa

KUALA LUMPUR – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz menafikan dakwaan bahawa Barisan Nasional (BN) menangguk di air keruh dalam isu hak pasukan bola sepak Selangor menggunakan Stadium Shah Alam.

Sebaliknya beliau berkata, parti itu memperjuangkan pembinaan stadium itu sebagai simbolik penghargaan kepada pasukan bola sepak negeri tersebut.

Malah Johan berkata, apa yang dilakukan BN bukan cara untuk memenangi hati pengundi menjelang pilihan raya kerana hak memilih kerajaan yang menjaga kebajikan terletak di tangan rakyat.

“Apa kena mengena dengan kita? Apa salahnya kita janji? Bukan janji kosong kita bina untuk pasukan Selangor yang dulu banyak mencipta nama.

“Kita tidak ada kuasa kepada stadium untuk perjuangkan. Jadi berilah kuasalah, kalau tak nak tak apalah. Lupakan, kita tidak paksa, undi ni rahsia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu sebuah portal melaporkan jurucakap Badan Bertindak Penyokong Selangor, Mohd Firdaus Abdul Mutalib melahirkan kekecewaan apabila melihat Barisan Nasional (BN) menjadikan mereka sebagai ‘keldai politik’ walaupun badan tersebut lantang memperjuangkan hak pasukan Selangor menggunakan stadium berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tawaran Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak dan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar baru-baru ini untuk mengembalikan hak The Red Giants menggunakan Stadium Shah Alam.

Johan turut menyelar Mohd Firdaus yang membuat dakwaan atas kapasiti peribadinya tanpa mendengar pendirian penyokong pasukan Selangor.

“Jurucakap tak boleh cakap untuk seorang, tanya penyokong lain. Nak main tak tahu padang mana pun tak boleh juga. Apa jadi dengan pemain Selangor? Mana datangnya isu ini kita jadikan isu politik,” tambahnya.

Menurut Johan, pasukan bola sepak negeri itu yang dianak tirikan sepatutnya membuka mata rakyat Selangor bahawa pembangkang yang berjaya menewaskan BN sebelum ini hanya mampu untuk menabur janji manis tanpa menunaikannya.

“Jangan nak tudingkan jari pula. Isunya dulu kita tidak bela ke? Siapa yang buat stadium dulu?,” katanya. – MalaysiaGazette