KUANTAN – Lt. Maritim Aida Arzahari yang mencipta sejarah sebagai Pegawai Memerintah Kapal wanita pertama negara hari ini, mendedikasikan kejayaan itu kepada ibunya yang mendorong beliau meneruskan legasi arwah bapanya.
Aida, 35, berkata ibunya Hamiah Zain, 57, kerap memujuknya untuk menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) walaupun beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mempunyai pekerjaan yang stabil dalam bidang kewangan.
Anak kelahiran Perlis itu berkata arwah bapanya Arzahari Sudin merupakan pegawai waran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia pada 13 Jan 2007 akibat serangan jantung pada usia 49 tahun.
“Apabila saya rasa mahu berputus asa semasa latihan, saya akan ingat semula cabaran yang diberikan ibu dan pesanan arwah ayah supaya saya menjadi yang terbaik daripada yang hebat,” katanya.
Aida berkata demikian kepada pemberita selepas menerima watikah lantikannya daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Sambutan Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini, hari ini.-BERNAMA