Kertas undi awal tidak dikira awal seperti tular dalam media sosial
Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah

PUTRAJAYA -Tiada prosedur baharu dalam kaedah pengundian akan diperkenalkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Dalam kenyataan di sini, hari ini, beliau berkata terdapat kekeliruan dan salah faham berhubung laporan media semalam yang melaporkan SPR akan memperkenalkan kaedah ‘urutan jari’ dalam PRU14 bagi mengelak sebarang penipuan semasa proses mengundi.

Menurutnya, salah faham tersebut berlaku semasa sesi Taklimat dan Simulasi Proses Pilihan Raya Kepada Petugas-Petugas Media Peringkat Negeri Pahang semalam (14 Feb).

Beliau menegaskan bahawa kaedah tersebut bukan satu prosedur atau peraturan khusus yang ditetapkan oleh SPR.

“Ia sebenarnya merupakan salah satu cara bagi petugas pilihan raya untuk membuat pemeriksaan jari terhadap pengundi bagi mengenal pasti cubaan penipuan dengan menggunakan jari palsu semasa proses pengundian,” jelasnya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Mohd. Hashim mengesahkan tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Paya Besar di Pahang ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abdul Manan Ismail, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata ia adalah selaras dengan peruntukan Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan memandangkan waktu terdapatnya kekosongan luar jangka itu berlaku telah melepasi tempoh kurang daripada dua tahun sebelum Parlimen dibubarkan.

“Maka kekosongan luar jangkaan itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberitahu SPR secara bertulis akan keperluan pengisian kekosongan luar jangka tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Hashim, beliau telah menerima surat pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi tersebut daripada Speaker Dewan Rakyat semalam.

Abdul Manan, 70, meninggal dunia di kediamannya di Taman Melawati, Kuala Lumpur Isnin lepas (12 Feb) akibat serangan jantung.-BERNAMA