Home Nasional 4 warga asing ditahan ketika merompak

4 warga asing ditahan ketika merompak

IPOH – Respons pantas pihak polis terhadap bunyi penggera sistem keselamatan di sebuah kedai emas di Jalan Kledang, Menglembu di sini, membawa kepada penangkapan empat warga asing yang cuba memecah masuk ke premis pajak gadai yang terletak bersebelahan, dalam kejadian awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, polis tiba di lokasi dalam tempoh kurang seminit sebaik menerima isyarat daripada sistem keselamatan yang dipasang di kedai emas tersebut.

“Sejurus pihak kami menerima siren amaran dari kedai emas itu sepasukan anggota digegaskan ke lokasi. Pemeriksaan mendapati pintu belakang kedai emas itu terbuka,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, tindakan pantas polis turut menyebabkan kesemua suspek tidak sempat melarikan diri dengan tiga ditemui bersembunyi di atas bumbung manakala seorang lagi di dalam kereta yang diletak tidak jauh dari premis.

“Siasatan awal mendapati suspek cuba memecah masuk premis pajak gadai itu dengan memecahkan dinding kedai emas namun usaha mereka terbantut apabila sistem keselamatan diaktifkan,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast