KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi putus kepala dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 7.1 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) menghala Selatan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd. Yusof, berkata nahas sebelum jam 11 malam itu berpunca apabila mangsa yang berusia 25 tahun itu berlanggar dengan sebuah kereta sebelum terpelanting terkena pembahagi jalan di tengah lebuh raya.

Beliau berkata, penunggang motosikal Kawasaki Z800 itu dikatakan memotong kereta Honda CR-V yang berada di lorong kedua dari sisi kiri sebelum cuba memotong sebuah kereta Perodua Alza di lorong pertama.

“Bagaimanapun, mangsa gagal mengawal motosikalnya dan melanggar sisi kanan kenderaan itu, menyebabkan motosikalnya jatuh di lorong kedua lebuh raya sebelum berpusing beberapa kali dan dilanggar Honda CR-V yang tidak sempat membrek.

“Mangsa pula terpelanting ke arah besi pembahagi jalan di tengah jalan dan lehernya dipercayai terkena besi berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dzaffir memberitahu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat putus kepala.

Tambah beliau, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Mantin, Negeri Sembilan, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, katanya.

Bagaimanapun, pemandu kereta Honda CR-V dan Perodua Alza yang terlibat dalam insiden itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast