foto: Bernama

ALOR SETAR – Lima mayat lelaki ditemui terapung di beberapa lokasi di Sungai Muda di Kampung Padang Bukit Taman Permai, Kuala Ketil dekat Baling hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shariffuddin Yusof berkata, mayat terbabit ditemui antara 11.35 pagi dan 12.45 tengah hari tadi selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam.

Empat daripadanya merupakan warga tempatan berusia 40 hingga 50 tahun manakala satu lagi mayat belum dikenal pasti, katanya dalam kenyataan, di sini.

Beliau berkata, mayat terbabit dipercayai antara pemain judi sabung ayam yang melarikan diri semasa polis menjalankan serbuan di Kampung Tanah Licin, Merbau Pulas pada 8 malam, 16 Februari lalu.

Kesemua suspek yang berada di khemah utama tempat perjudian itu bertindak melarikan diri ketika tangkapan hendak dibuat dan polis percaya sebahagian daripada mereka terjun ke sungai berdekatan, katanya.

Beliau berkata, kesemua mayat terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah dan usaha mengesan mayat lain masih dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Mengulas operasi malam kejadian, beliau berkata pihaknya berjaya menahan 76 individu serta merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM140,000. – Bernama