Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Satim Diman beramah mesra bersama sebahagian tetamu yang hadir pada program Jelajah Kasih Negeriku Selangor yang merupakan siri program ‘touch point’ Penerangan Barisan Nasional Selangor meneruskan penganjurannya di Dun Tanjong Sepat, Kuala Langat yang terletak dalam Parlimen Sepang di Ladang Fermanagh, Sg Pelek, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 FEBRUARI 2018

SEPANG – Rentetan daripada kontroversi penjualan tanah bernilai RM1.18 bilion oleh kerajaan negeri Selangor, sayap Penerangan Barisan Nasional (BN) negeri itu akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Dr. Mohamed Satim Diman berkata, pihaknya merancang untuk mengemukakan aduan mengenai penjualan tanah oleh kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada SPRM pada minggu depan.

Katanya, beliau difahamkan memang terdapat aduan dibuat oleh beberapa individu  dengan menghantar surat kepada SPRM setelah mendapat tahu tanah jual pada harga RM1.18 bilion sedangkan pampasan yang terima pemilik pula mengikut harga pasaran tahun 2000.

“Saya hairan Azmin yang menggantikan Khalid boleh membuat keputusan menjual semula tanah itu kepada dua syarikat itu sedangkan mahkamah sudah menolak.

“Saya juga terkilan apabila dua syarikat itu menjual tanah di mukim Ijok itu dengan nilai pasaran semasa mengutungkan iaitu RM1.18 bilion tetapi memberi pampasan mengikut nilai pasaran lama tahun 2000.

“Di sini Azmin sudah melihat keuntungan RM800 juta dengan hasil jualan tanah dengan RM1.18 bilion sedangkan peneroka diselesaikan dengan pampasan berjumlah RM420 juta.

“Di sini sudah tercetus persoalan dalam kalangan peneroka dan rakyat negeri Selangor juga perlu fikir mana perginya lebihan RM800 juta itu, Azmin perlu menjawab segera,” katanya selepas Program Jelajah Kasih Negeriku Selangor di Ladang Fermanagh, Sungai Pelek hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Satim juga menyifatkan Timbalan Presiden PKR itu hanya mementingkan ‘perut’ sendiri.

“Dia bukan peduli rakyat di negeri itu pun, semuanya cakap kosong sahaja… lepas itu sibuk menuduh BN punca segala masalah di negeri itu.

“Saya nak ulangi kepada rakyat negeri Selangor bahawa, BN bukan pemerintah, kami adalah pembangkang di Selangor dan tidak berkuasa maka apa kewajarannya asyik menuding jari terhadap BN.

“Ini yang rakyat di negeri ini perlu faham sekarang. selama 10 tahun mentadbir negeri ini, Pakatan Harapan gagal teruk. Kalau anda semua (rakyat) betul dan ikhlas hendak dipeduli BN dan keadaan kembali seperti sebelum 2008, ambil ikhtibar tak kira India, Melayu atau Cina. Satu hati semula dan balik kepada BN kali ini,” katanya.

Pada November lalu, dua NGO iaitu Generation2u United Club dan Persatuan Pemuda Kampung Lindungan 565 membuat laporan SPRM bagi mendesak siasatan dilakukan jika terdapat unsur rasuah dalam isu tanah di mukim Ijok yang diberikan oleh kerajaan PKR Selangor kepada dua syarikat.

Tanah seluas 880 hektar itu dibeli oleh dua syarikat, LBCN Development Sdn. Bhd. dan Mujur Zaman Sdn. Bhd. pada 1998 namun diambil kerajaan negeri pada 2008 mengikut Kanun Tanah Negara berikutan pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai isu tanah itu wajar diambil serius memandangkan beliau mengetahui intipati dan kronologi perkara tersebut. – MalaysiaGazette